Meta, TikTok akur permintaan kerajaan Malaysia

Meta, TikTok akur permintaan kerajaan Malaysia
December 15, 2023

KUALA LUMPUR: Pemilik Facebook, Meta dan TikTok China mengehadkan jumlah rekod siaran dan akaun media sosial di Malaysia dalam tempoh enam bulan pertama 2023 di tengah-tengah permintaan kerajaan untuk mengalih keluar kandungan.

Pentadbiran Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang mula memegang tampuk kuasa pemerintahan pada November 2022 atas platform reformis, menurut laporan Reuters pada hari ini, Jumaat (15 Dis) telah berdepan tuduhan memungkiri janjinya untuk melindungi kebebasan bersuara di tengah-tengah peningkatan penelitian terhadap kandungan dalam talian sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Kerajaan Malaysia bagaimanapun telah menafikan dakwaan menyekat perbezaan pendapat dalam talian, mengatakan ia mahu mengekang kandungan bersifat provokatif yang menyentuh isu raja, agama dan kaum di negara ini.

Menurut data yang diterbitkan dalam Laporan Ketelusan dua kali setahun firma itu pada bulan ini, antara Januari dan Jun tahun ini, Meta telah mengehadkan kira-kira 3,100 halaman dan siaran di platform Facebook dan Instagramnya daripada diakses oleh pengguna di Malaysia kerana mereka dilaporkan didakwa telah melanggar undang-undang tempata.

Angka itu enam kali lebih tinggi berbanding tempoh setengah tahun sebelumnya dan tertinggi sejak syarikat itu mula melaporkan sekatan kandungan di Malaysia pada 2017.

Meta berkata antara Julai 2022 dan Jun 2023, ia mengehadkan akses kepada lebih 3,500 item sebagai tindak balas kepada laporan oleh pengawal selia komunikasi Malaysia dan agensi kerajaan lain.

“Kandungan itu termasuk kritikan terhadap kerajaan dan siaran yang didakwa melanggar undang-undang mengenai perjudian haram, ucapan kebencian, kandungan yang memecahbelahkan kaum atau agama, buli dan penipuan kewangan,” jelas kata laporan Meta itu lagi.

Platform video pendek TikTok, dalam laporan serupa yang dikeluarkan bulan lepas pula berkata, ia telah menerima 340 permintaan daripada kerajaan Malaysia untuk mengalih keluar atau menyekat kandungan antara Januari dan Jun 2023, yang menjejaskan 890 siaran dan akaun.

TikTok sehubungan itu, mengesahkan telah mengalih keluar atau menyekat 815 siaran kerana melanggar undang-undang tempatan atau garis panduan komuniti platform.

Ia adalah jumlah yang tertinggi dalam tempoh enam bulan sejak ia mula melaporkan permintaan daripada Malaysia pada 2019; dan adalah tiga kali ganda bilangan TikTok yang dialih keluar pada separuh kedua 2022. – HARAKAHDAILY 15/12/2023

Ulasan