PN miliki pemimpin pelapis terajui negara



KEMAMAN: PERIKATAN NASIONAL (PN) tidak ketandusan pemimpin muda untuk diketengahkan sebagai pemimpin pelapis bagi menerajui negara pada masa akan datang.

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Razali Idris berkata, antara pemimpin bakal Perdana Menteri Malaysia pada masa depan termasuk Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Katanya langkah ke arah itu boleh dimulakan pengundi di Kemaman hari ini mengundi Dr Samsuri sebagai calon PAS yang mewakili PN bagi PRK Kemaman.

“Sudah tentulah rakyat beruntung dengan pembangunan dan ekonomi di Kemaman bertambah rancak pada masa akan datang.

“Ini bukan mimpi di siang hari tetapi saya nak khabar lebih awal, bahawa PN dan PAS mempunyai pemimpin berwawasan, akhlak terpuji, kompeten dan mesra kepada akar umbi.
Datuk Razali Idris

“Saya selari dengan pandangan Presiden Bersatu yang juga bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melihat Menteri Besar Terengganu ada kelayakan dan personaliti yang baik sebagai Perdana Menteri pada masa depan,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Hari ini berlangsung PRK Kemaman yang menampilkan Dr Samsuri bagi mempertahankan parlimen berkenaan. Beliau berdepan calon BN Jeneral (B) Tan Sri Raja Muhamad Affandi Raja Muhamad Noor.

Razali yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, sudah tentu rakyat Kemaman dan Terengganu pasti gembira dan tidak pernah membayangkan seorang Perdana Menteri yang baharu datang dari Kemaman.

Menurutnya perkara ini tidak mustahil berdasar pencapaian rekod luar biasa diterjemahkan calon PAS, Dr Samsuri untuk pembangunan negeri Terengganu.

Malahan katanya rekod 40-0 membuktikan rakyat Terengganu menolak 100 peratus anasir dan budaya kotor yang dibawa Umno-BN selama ini.

“Terus kekalkan momentum ini dengan memberi kemenangan besar, kemenangan majoriti lebih 30,000 undi sebagai mesej rakyat menolak PMX,” katanya yang juga Adun Kijal. – HARAKAHDAILY 2/12/2023

Ulasan