PRK Kemaman: Referendum rakyat terus memihak PAS-PN

PRK Kemaman: Referendum rakyat terus memihak PAS-PN


PAS mengucapkan setinggi-tinggi syukur kepada Allah SWT dan jutaan terima kasih kepada para pengundi atas kemenangan lebih besar Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS- PN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang diadakan semalam.

Terima kasih juga diucapkan kepada petugas dan penyokong parti, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pasukan keselamatan dan agensi-agensi terbabit dalam menjayakan PRK tersebut serta memastikan ia berjalan dengan lancar dan selamat.

Kemenangan Dr Samsuri dengan majoriti lebih besar sebanyak 37,220 undi yang mewakili sokongan 70 peratus pengundi bukan sahaja membuktikan penerimaan terhadap kedudukannya sebagai Menteri Besar Terengganu, tetapi juga mengesahkan momentum sokongan menaik kepada

PERIKATAN NASIONAL (PN) dalam siri PRK yang diadakan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), termasuk di Parlimen Kuala Terengganu dan Pulai serta DUN Simpang Jeram dan Pelangai sebelum ini.

Selain itu, ia juga adalah referendum penolakan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yang diketuainya.

Adalah jelas bahawa kerajaan Pusat terus gagal mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat hatta selepas satu tahun berkuasa.

Dalam konteks PRK Kemaman ini, undi yang diperolehi oleh calon PH-BN sebanyak 27,778 yang mewakili tahap sokongan 30 peratus adalah jauh lebih rendah berbanding undi yang didapati oleh kedua-dua PH dan BN dalam PRU15 lepas, iaitu masing-masing sebanyak 8,340 dan 38,535 undi yang mewakili sokongan 41 peratus.

Dengan kata lain, gabungan PH-BN bukan sahaja gagal meraih sokongan baharu, tetapi terus kehilangan sokongan yang pernah dinikmatinya sebelum ini berdasarkan penurunan ketara yang dicatatkan di Kemaman.

Selain faktor kecelaruan pentadbiran, PAS percaya keputusan PRK Kemaman kali ini juga merupakan penolakan pengundi terhadap ‘politik dana peruntukan’ serta helah tidak bermaruah Putrajaya menggunakannya untuk memaksa dan membuli Ahli

Parlimen pembangkang serta kerajaan negeri yang tidak sehaluan supaya tunduk dan menyokongnya.

PAS kekal komited kepada politik matang, bermaruah dan demokratik bukan sahaja dalam peranannya sebagai blok pembangkang di Parlimen, tetapi juga sebagai kerajaan di negeri-negeri yang ditadbirnya atas kepercayaan bahawa ia adalah pendekatan terbaik untuk kepentingan negara dan rakyat.

Dalam pada itu, PAS juga bersedia untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar di peringkat nasional apabila keadaan menghendaki sedemikian susulan kegagalan berterusan Putrajaya untuk memastikan rakyat dan negara terlindung daripada kesan negatif tindak-tanduk kerajaan sendiri mahu pun perkembangan yang berlaku di dunia luas.

“Adil, Prihatin dan Berkebajikan”

TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 3 Disember 2023 – HARAKAHDAILY 3/12/2023

Ulasan