Semakin kuat ditekan, semakin kukuh sokongan rakyat

Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR: Pengerusi PERIKATAN NASIONAL, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atas kemenangan besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, semalam.

Katanya, kejayaan memperolehi majoriti 37,220 undi, iaitu peningkatan hampir 10,000 undi berbanding keputusan PRU15 adalah petanda jelas sokongan rakyat yang semakin kuat kepada PAS khususnya dan PERIKATAN NASIONAL amnya.

“Semakin kuat ditekan, semakin kukuh sokongan rakyat,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, pada masa yang sama, keputusan PRK Kemaman itu juga mengesahkan populariti kerajaan PH-BN yang semakin merudum.

Rakyat, kata beliau khususnya orang Melayu, menolak kerjasama antara kedua-kedua parti itu.

“Buktinya jelas. Undi yang diperolehi oleh calon BN dalam PRK ini jauh lebih rendah berbanding undi yang diperolehi semasa PRU15,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, ini petanda bahawa penyokong BN sendiri telah beralih arah menyokong PAS.

Katanya, keputusan PRK Kemaman adalah rentetan trend penolakan pengundi BN terhadap kerjasama parti itu dengan PH seperti yang dapat diperhatikan dalam semua PRK sebelum ini.

Ini, ujarnya adalah suatu amaran berterusan daripada pengundi kepada BN, khususnya Umno, supaya menilai semula kerjasama mereka dengan PH.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada YAB Dato’ Seri Ahmad Samsuri dan berdoa semoga beliau dapat memberikan khidmat yang cemerlang kepada penduduk di Kemaman,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua jentera pilihan raya parti-parti komponen PN yang telah bekerja keras untuk mencapai kemenangan itu.

“Saya juga mengucapkan terima kepada semua pengundi di Kemaman yang telah mengundi calon PAS,” katanya lagi.

Pada PRK Parlimen Kemaman, semalam, Ahmad Samsuri menang dengan majoriti 37,220 undi apabila memperolehi 64,998 undi menewaskan calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mendapat 27,778 undi.– HARAKAHDAILY 3/12/2023

Ulasan