Zahid enggan terima hakikat kemenangan PAS di Kemaman


SUKAR Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi mahu menerima kekalahan Umno di Kemaman setelah sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa Kemaman merupakan ‘kubu kuat’ Umno Terengganu.

Benar PRU12 tahun 2008 Umno menang Kemaman dengan majoriti 12,683 undi diikuti PRU13 tahun 2013 dengan majoriti 12,306 undi. Bolehlah Kemaman kubu kuat Umno, tetapi itu tahun 2013, kini kita sudah di penghujung 2023. 10 tahun dahulu mungkin benar, tetapi sejak PRU14 tahun 2018 tidak lagi hinggalah saat ini.

Bagi menutup kekalahan besar Umno di Kemaman baru-baru ini, akhbar The Star hari ini melaporkan bahawa kata Zahid kurangnya pengundi Umno keluar mengundi mengakibatkan PH-BN tewas di Kemaman. Bukannya kerana pertambahan sokongan terhadap PAS.

Tambah Zahid kira-kira 10,000 pengundi tegar BN-Umno tidak keluar mengundi, mengakibatkan ia tewas. Saya pasti ramai yang kebingungan membaca apa lagi mahu memahami kenyataan Presiden Umno ini.

Calon BN dalam PRU15 lepas memperolehi 38,355 undi (tewas kepada calon PAS yang memperolehi 65,714 undi), manakala calonnya dalam PRK kali ini cuma memperolehi 27,778 undi (berbanding 64,998 yang diperolehi calon PAS). Benar di sana terdapat kekurangan 10,577 undi.

Soalnya adakah jika 10,577 yang Zahid kata tak keluar itu, keluarlah mengundi Sabtu lepas adakah calon BN boleh menang?

Sabtu lepas calon BN dapat 27,778 dan katalah kita campurkanlah 10,577 undi sekalipun, calon BN akan dapat cuma 38,355 undi, masih 26,643 undi di belakang Dr Samsuri. Tak menang, tapi kalah juga.

Jadi di manakah benarnya kenyataan Zahid bahawa ia kalah kerana pengundi tegarnya tidak keluar mengundi?

Sepatutnya Zahid insaf bahawa Umno kalah teruk kerana 10,577 itu enggan keluar, tidak lagi sanggup bersama Umno, mungkinkah protes tidak setuju dengan kepimpinan Zahid sebagai Presiden?

Seperkara lagi, Zahid juga perlu sedar dalam PRU15 lalu PH juga meletakkan calon. Calon PH ketika itu menerima 8,340 undi. Bukankah BN sekarang bekerjasama dengan PH dalam satu kerajaan. Yang patut Zahid marah adalah 8,340 pengundi PH ini yang tidak keluar membantu calon BN (kalau keluar pun tetap kalah).

Mana pergi Kerajaan Campuran PH-BN apabila BN ditinggalkan bersendirian menghadapi PAS di Kemaman? Adakah ini juga indikator bahawa pengundi PH di Kemaman pun sudah bosan dan tidak dapat terima Umno di bawah Zahid?

Hakikatnya ahli dan penyokong Umno semakin meninggalkan Umno, di Kemaman dengan skala yang besar. Mungkin juga seluruh negara sudah begitu hari ini. Zahid gagal mengembalikan kegemilangan Umno.

Jika kekalahan di Kemaman inipun tidak mahu diambil iktibar oleh Zahid, maka sewajarnya ahli dan penyokong Umno buatlah keputusan yang sebaiknya. PAS dan PN kini mengemudi bahtera besar perjuangan umat Melayu Islam, tidak lagi Umno di bawah Zahid. Naiklah bahtera besar ini biar kita pandu ia bersama ke arah kesejahteraan ummah, tinggalkan bahtera usang yang hampir karam itu. Tak Melayu hilang di dunia.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 5/12/2023

Ulasan