Isu penunggang GrabFood: Kenapa APAD berdiam diri?

Isu penunggang GrabFood: Kenapa APAD berdiam diri?
January 19, 2024

Abdul Hakim Abdul Rani (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)

PETALING JAYA: Tindakan syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing, GrabFood Malaysia (GrabFood) yang menurunkan kadar upah asas penunggang GrabFood daripada RM7 kepada hanya RM4 bagi setiap pesanan baru-baru ini menimbulkan persoalan atas sikap berdiam diri Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Setiausaha Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Abdul Hakim Abdul Rani berkata, APAD yang seharusnya mengawal selia syarikat-syarikat e-hailing dan p-hailing termasuklah GrabFood.

Beliau ditemui dalam Protes Grab Blackout yang diadakan di luar Ibu Pejabat GrabFood di Axis Business Campus, Seksyen 51A, di sini hari ini.

Katanya, apabila APAD masih berdiam diri mengenai isu tersebut, maka kelayakan dan kredibiliti APAD dalam menguruskan masalah tersebut telah menimbulkan persoalan.

“Ini kerana seharusnya agensi tersebut perlu menjamin keadilan penunggang-penunggang e-hailing dan p-hailing termasuklah GrabFood.

“Jadi, mereka (APAD) perlu bertegas dalam isu ini kerana jika tidak (bertegas), masalah sebegini bukan sahaja memberikan kesan buruk kepada penunggang-penunggang GrabFood tetapi juga kepada agensi itu sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/1/2024

Ulasan