Protes Grab Blackout di seluruh negara, esok

Protes Grab Blackout di seluruh negara, esok
January 18, 2024


KUALA LUMPUR: “Grabfood jangan spin (putar) kenyataan, sudah terang lagi bersuluh.”

Itu kenyataan daripada Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) menyatakan pihaknya agak terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat penyelia P-Hailin , Grabfood Malaysia (Grabfood) menerusi akhbar tempatan Berita Harian (https://www.bharian.com.my/…/syor-tubuh-badan-kawal…).

“Dalam kenyataan tersebut, pihak Syarikat Grabfood menafikan pengurangan kadar bayaran upah dan langkah kadar bayaran upah yang baharu ini dilakukan berdasarkan maklum balas yang diterima oleh pihak syarikat Grabfood dari penunggang (rider),” ujar PPRPM dalam satu kenyataan Facebooknya pada hari ini, Khamis (18 Jan).

“Jika benar langkah yang diambil berdasarkan maklum balas dari penunggang tidak mungkin berlaku protes yang dilakukan sendiri oleh penunggang.

“Jika benar tiada pengurangan kadar bayaran upah minimum yang diterima oleh penunggang segala skrin layar harga pesanan yang diterima oleh penunggang jelas menunjukkan berlakunya penurunan.

“Ya benar, memang pihak Grabfood Malaysia telah menaikkan kadar bayaran untuk bonus pengambilan dan insentif. Namun berdasarkan pengalaman sebelum ini apabila timbul sahaja penurunan kadar bayaran upah minimum,” jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan tersebut, pihak Grabfood Malaysia akan menaikkan kadar bonus dan insentif tetapi bonus dan insentif yang diberikan itu adalah sementara dan sekadar untuk menutup segala permulaan yang diterima.

“Jika ingin melakukan perubahan dan penambahan bonus dan insentif mengapa harus mengurangkan kadar minimum bayaran upah yang diterima?” soal PPRPM.Penunggang p-hailing dan Grabfood kini bangkit memperjuangkan hak mereka yang seolah-olah ditindas berhubung isu bayaran penghantaran yang terlalu murah.

Sehubungan itu, PPRPM mengumumkan bersolidariti dengan para penunggang p-hailing Grabfood dan menyokong kempen yang dilancarkan oleh penunggang Grabfood.

Kempen yang dinamakan sebagai Grab Blackout itu dijadualkan akan berlangsung di seluruh negara pada esok, Jumaat (19 Jan) dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam adalah merupakan usaha tuntutan hak rider (penunggang p-hailing dan Grabfood) bagi memperjuangkan isu harga penghantaran yang terlalu murah.

Kumpulan penunggang p-hailing dan Grabfood dijadualkan berkumpul pada jam 3 petang esok di beberapa ‘area point’ termasuk di Quill City Mall di Jalan Sultan Ismail, Sunway Pyramid, Sogo Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Malawati Mall, 1 Utama Shooping Centre, Sunway Putra Mall, sebelum melakukan konvoi menuju ke ibu pejabat Grabfood (GDC) di Petaling Jaya, Selangor dijangka pada jam 4 petang.

Kesemua penunggang yang akan terlibat diminta membawa beg dan memakai baju atau jaket Grabfood, mematuhi peraturan lalu lintas, melantik wakil penunggang bertemu pihak GDC untuk menyuarai luahan sebelum satu sidang media akan diadakan kemudiannya.Nasib golongan penunggang p-hailing dan Grabfood di negara ini masih belum terbela.

Terdahulu, semalam (17 Jan) dalam Facebooknya, PPRPM telah menzahirkan rasa kekecewaan terhadap Grabfood Malaysia berikutan keputusannya memperkenalkan kadar bayaran upah baharu yang berlaku penurunan drastik terhadap upah penunggang.

“Untuk makluman, isu penurunan kadar bayaran upah adalah antara isu utama yang telah kami suarakan dalam pertemuan dan perbincangan kami bersama pihak Kerajaan, Kementerian-Kementerian dan juga Agensi-agensi berkaitan.

“Isu penurunan kadar bayaran upah ini adalah isu berulang dan menjadi dilema buat penunggang p-hailing.

“Malahan isu berkaitan isu bayaran upah ini juga pernah disuarakan terus oleh penunggang p-hailing kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam program Temu Anwar di Petaling Jaya sebelum ini,” jelas PPRPM.

Tambah PPRPM, rentetan daripada keluhan yang disampaikan oleh penunggang p-hailing kepada Anwar, satu pertemuan dan perbincangan bersama-sama semua Syarikat Penyelia P-Hailing (PHO) di Malaysia bersama Perdana Menteri , Menteri Pengangkutan, Menteri Sumber Manusia dan Menteri Komunikasi dan Multimedia telah diadakan di Pejabat Perdana Menteri (PMO).

“PPRPM bersama-sama beberapa NGO p-hailing yang lain turut hadir menjadi saksi di dalam perbincangan tersebut.

“Dalam perbincangan tersebut pihak semua Syarikat Penyelia termasuk pihak syarikat Grabfood Malaysia yang turut serta di dalam perbincangan tersebut telah bersetuju untuk mengkaji semula kadar penerimaan upah yang diterima oleh penunggang mereka.

“Namun apa yang amat dikecewakan isu penurunan kadar bayaran upah ini masih berlaku kepada penunggang p-hailing,” tambah kenyataan itu,

Tambah PPRPM, penurunan kadar bayaran upah yang dilakukan oleh syarikat penyelia Grabfood adalah keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa tanpa berbincang dan merujuk bersama penunggang.

“Malahan keputusan yang dibuat oleh Syarikat Penyelia Grabfood sangat tidak menghormati perbincangan bersama Perdana Menteri,” ujar kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, PPRPM mengesa agar pihak Syarikat Grabfood supaya mengembalikan semula kadar bayaran upah kepada bayaran asal secara serta merta.

“Ini kerana kadar bayaran upah yang diberikan saat ini sangat rendah dan pengiraan kadar bayaran upah yang tidak jelas,” tegas PPRPM.Kerajaan Madani digesa menyelesaikan isu dan masalah yang dihadapi golongan penunggang p-hailing dan Grabfood di negara ini dalam kadar segera.

Sehubungan itu, PPRPM juga menyeru agar pihak kerajaan mengambil tindakan dan campur tangan dalam isu berkaitan p-hailing.

“Pandangan kami, selagi tiada akta khusus yang diwujudkan oleh pihak kerajaan berkaitan ekonomi gig p-hailing, isu berkaitan perkara ini akan terus berlarutan; dan hanya pihak kerajaan yang boleh merangka dan mengeluarkan polisi atau garis panduan meliputi keseluruhan Eko Sistem Ekonomi Gig P-Hailing.

“Oleh itu, PPRPM mengesa agar pihak kerajaan menyegerakan Badan Kawal Selia Ekonomi Gig demi menjaga kebajikan pengiat ekonomi gig terutamanya pengiat p-hailing.

“PPRPM juga mengesa agar pihak kerajaan mengambil langkah jangka pendek mengenai isu terkini yang sedang dihadapi oleh penunggang p-hailing terutamanya berkaitan isu kadar bayaran upah,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/1/2024

Ulasan