Terbuka terima idea tambah baik dasar MBI

Terbuka terima idea tambah baik dasar MBI
January 21, 2024



KOTA BHARU: Kerajaan negeri sentiasa terbuka menerima idea dan cadangan menambah baik dasar Membangun Bersama Islam (MBI).

Pandangan orang ramai boleh diutarakan menerusi empat kluster iaitu bidang agama, ekonomi, pendidikan dan mahasiswa bagi menambahbaik dasar kerajaan negeri.

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang, Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, sepanjang PAS mentadbir Kelantan katanya, dasar MBI bermula 1990, kemudian pada 2013 sehingga 2023 Merakyat Membangun Bersama Islam dan kini Penghayatan MBI diperkenalkan.

“Saya sekali lagi ucap terima kasih kepada anak Kelantan sentiasa bersama kerajaan negeri, harapan saya agar kita semua berperanan menjadi ejen penyebar maklumat berkaitan kerajaan negeri.

“Di samping membantu dengan kemampuan dan kepakaran yang dimiliki, berkaitan empat kluster khususnya bagi mengekalkan Kelantan di bawah dasar Membangun Bersama Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jelajah Penghayatan Membangun Bersama Islam, Pimpinan Negeri Bersama Warga Kelantan di Perantauan 2024 di Bangi semalam.

Hadir sama Exco Kerajaan Negeri, Ustaz Mohd Asri Mat Daud dan Presiden Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (Perakan Malaysia), Dato’ Sr Dr Wan Aminuddin Wan Hussin.

Pada majlis itu juga beliau turut menyempurnakan perasmian jelajah Penghayatan Membangun Bersama Islam yang bakal memulakan penerangan mengenai program kerajaan negeri kepada anak-anak perantau.

Menteri Besar pada 7 Disember lalu melancarkan Dokumen Induk Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) 2023-2033 untuk dihayati rakyat Kelantan.

Beliau berkata, anak Kelantan yang berada di perantauan merupakan tunjang kekuatan kerajaan negeri yang mahu melaksanakan syariat Islam.

“Saya harap Perakan dan NGO anak Kelantan yang lain terus berperanan sebagai jambatan dalam soal kebajikan anak Kelantan di perantauan kerana mereka menjadi tonggak keutuhan MBI. – HARAKAHDAILY 21/1/2024

Ulasan