ENERGY STICK : DIGESA TINDAKAN SEGERA PIHAK KERAJAAN

 


1. Pendedahan Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini bahawa kewujudan produk penyedut hidung atau turut dikenali sebagai 'Energy' Stick' yang kini giat dijual dan dipromosikan menerusi sosial media kononnya dapat memberi tenaga dan kesegaran kepada pengguna adalah satu perkara yang mengejutkan massa. Produk yang kini menjadi ancaman khususnya kepada golongan pelajar sekolah dibimbangi akan memberikan kesan negatif kepada mereka dalam masa panjang.

2. Penggunaan 'tagline' oleh sebahagian penjual 'Sedut dahulu, baru pergi sekolah' dan 'Sedut dulu baru mulakan kerja' sudah membayangkan bahawa sasaran jualan produk ini adalah untuk pelajar sekolah yang kita akui bahawa mereka akan mudah terpengaruh dengan iklan seperti ini lebih-lebih lagi ianya dapat diperolehi dengan harga yang murah dan mudah dibeli di media sosial. Saiz produk yang kecil memudahkan golongan pelajar sekolah untuk menyorokkan produk ini untuk di bawa bersama kemana-mana. Ianya mula popular di kalangan pelajar sekolah yang dijual secara berleluasa dengan harga serendah RM2.50 sehingga RM10 sahaja.

3. Pendedahan Public Health Malaysia (PHM) sebelum ini menerusi hantaran di Facebook meminta masyarakat agar berhati-hati dengan produk dikenali sebagai Energy Stick ini. PHM memaklumkan, produk itu mempunyai dua corong yang muat ke lubang hidung dan boleh disedut melalui hidung terus ke paru-paru.

4. Adalah difahamkan bahawa pengambilan produk itu sama seperti pengambilan dadah melalui hidung 'snorting' dan secara psikologinya adalah sangat negatif kerana menggalakkan pengguna untuk mencuba bahan lain termasuk dadah.

5. Adalah sangat wajar perkara ini diberikan penjelasan, bukan sahaja disebarkan maklumat kepada massa dengan segera dan berkala supaya kesan negatif terhadap masyarakat dapat dibenteras. Sekiranya ia tidak dibanteras oleh pihak berkuasa dan masyarakat tidak mengambil peduli, adalah dikhuatiri mewujudkan budaya negatif dalam kalangan masyarakat kita.

6. Apabila kita berhadapan dengan dunia yang semakin canggih teknologinya, sudah tentu juga kita terpaksa juga berhadapan dengan pelbagai kaedah yang diubah suai untuk 'merosakkan' masyarakat khususnya di kalangan pejabat sekolah dan remaja. Sebelum ini golongan ini terdedah dengan rokok elektronik atau vape, kini produk 'energy stick' menjadi ancaman baharu.

7. Justeru pihak berkuasa iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu bertindak segera untuk memastikan produk ini tidak dijual dengan semudahnya.

Sekian.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
6 Februari 2024

Ulasan