Kenapa pemimpin DAP ‘tak faham bahasa’ dengan baik?

Kenapa pemimpin DAP ‘tak faham bahasa’ dengan baik?
February 5, 2024


DAP bukan sekali dua bersikap melampau dalam isu-isu 3R yakni menyentuh kaum, agama dan raja-raja, tetapi parti tersebut sememangnya sudah dikenali sedemikian.

Campur tangan, celupar, biadab dan kurang ajar terhadap isu-isu tersebut bahkan dilihat cuba melanggar garis merah peruntukan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Terkini adalah dalam isu pengampunan ke atas bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang diberikan pengurangan hukuman dan denda.

Bekas Setiausaha Publisiti, Tony Pua membuat sindiran yang dimuat naik di laman sosial miliknya, yang mana perkara itu menyebabkan dia dipanggil untuk siasatan pihak polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam siaran medianya berkata, ‘kenyataan seperti ini bersifat menghasut’ dan ‘Tony Pua akan dipanggil bagi membantu siasatan’.

Beliau juga mengingatkan semua pihak bahawa ‘Kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi’.

Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Ramkarpal Singh bagaimanapun membidas Razarudin yang digesanya untuk mengelak daripada memberi komen menyimpulkan Tony Pua bersalah.

“Dalam kenyataannya semalam, KPN menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai kes Tony Pua kerana perkara itu masih dalam siasatan, tetapi pada masa yang sama membuat kesimpulan kenyataan Tony Pua itu berbaur hasutan.

“Jika KPN telah membuat kesimpulan semalam bahawa kenyataan Tony Pua bersifat hasutan, mengapa perlu meminta beliau hadir di Bukit Aman hari ini bagi tujuan membantu siasatan?

“Nampaknya KPN telah pun mendapati Tony Pua bersalah tanpa memberinya hak untuk membuat siasatan yang betul dan adil,” dakwanya dan turut berkata kenyataan pegawai polis tertinggi negara itu tidak menimbulkan keyakinan terhadap kesaksamaan proses siasatan.

Katanya, Ketua Polis Negara harus menjalankan tugas secara profesional dan tidak dilihat mempengaruhi proses siasatan.

Kenyataan Ramkarpal itu hanya menunjukkan beliau melulu mendakwa KPN telah membuat kesimpulan, sedangkan kata digunakan adalah ‘seperti ini’ dan; ‘bersifat menghasut’.

Ia bermakna ‘seakan menyamai’ dan bukannya ‘telah melakukan’ perbuatan tersebut. Ringkasnya, Ramkarpal gagal memahami bahasa Melayu.

Apatah lagi dalam kenyataan KPN itu disusuli dengan kata ‘akan dipanggil bagi membantu siasatan’ dan ‘masih di peringkat siasatan’.

Ia justeru menjadi pencerah yang terang dalam menjelaskan pendirian pihak polis terhadap tindakan Tony Pua.

Malangnya, Ramkarpal pula menyatakan perkataan bersifat prasangka, tuduhan dan kecaman kepada KPN di mana pertikaiannya itu juga bersifat tidak hormat.

Apakah sikap ditunjukkan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu kerana beliau berada di pihak kerajaan pemerintah hari ini dan partinya pula merupakan penyumbang kerusi terbesar?

‘Kerusi yang dipinjamkan’

‘Tidak faham bahasa’ oleh pemimpin DAP bukan satu isu baharu, sebelum ini reaksi Veteran DAP, Lim Kit Siang kepada perkataan ‘naratif beracun’.

Perkataan itu digunakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan terhadap cadangan Kit Siang mengenai Perdana Menteri daripada kalangan bukan-Melayu.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari yang mengulas reaksi Kit Siang menyifatkan veteran itu mempunyai masalah dalam memahami lenggok Bahasa Melayu.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu menasihatkan Kit Saing agar lebih banyak mendalami ilmu mengenai bahasa tersebut.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke juga pernah mempertikaikan kalimah ‘kerusi yang dipinjamkan’ dalam Ucaptama Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam muktamar tujuh tahun lalu.

“Mana ada kerusi pinjam dalam pilihan raya ni. Semua kerusi adalah hak parti masing-masing. Saya guna itu bahasa kiasan orang panggil.

“YB Loke itu kalau saya, saya salute dia. Dia bahasa Malaysia dia elok tapi dia kena belajar bahasa kiasanlah,” ujar Nik Abduh.

Sindiran bahasa juga pernah dilakukan seorang blogger sinikal mendakwa pemberian daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang daripada wang judi. Ia menyebabkan Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri ketika itu membuat laporan kepada pihak berkuasa. Blogger tersebut menyifatkan sifat cauvinis DAP menyebabkan mereka gagal fahami sindiran.

Banyak maksud ‘tembak’

Pernah bekas Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Razlan Rafii dikenakan siasatan berikutan kenyataannya didakwa berbaur ancaman terhadap DAP yang membuat laporan polis.

Memperjelaskan maksud ‘tembak’ yang dikatakan ditujukan kepada DAP menerusi platfrm X beliau, menurutnya perkataan tembak itu mempunyai banyak maksud.

“Tembak ini boleh juga membawa maksud balun, balas kata-kata, sembur…ia macam bahasa pasar…di sini maksudnya bukanlah saya suruh angkat senjata atau apa.

“Maksud tembak itu telah disalah tafsir oleh pemimpin DAP yang kurang fasih Bahasa Melayu,” katanya.

Pernah ketika PRN Melaka, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching ketika itu memuat naik status bertulis ‘Lahabau Melaka. Jom Undi’, sedangkan ianya merupakan kata-kata makian. Hal tersebut membuktikan pemimpin DAP gagal menguasai Bahasa Melayu dengan baik.

Ini hanya sebahagian kecil kejadian menunjukkan pemimpin DAP ‘tak faham bahasa’ di mana terdapat banyak lagi sikap selari lain yang dilakukan mereka. Antaranya juga adalah penggunaan bahasa ibunda pada urusan rasmi dan lain-lain. – HARAKAHDAILY 5/2/2024

Ulasan