Kes Nik Elin: Apa punca masalah, apakah pula penyelesaiannya?

Kes Nik Elin: Apa punca masalah, apakah pula penyelesaiannya?
February 12, 2024

Sistem mahkamah syariah di bawah bidang kuasa negeri yang memiliki kuasa terhad.

Mahkamah Persekutuan, Putrajaya pada Jumaat (9 Feb) lepas telah membuat keputusan membenarkan petisyen difailkan peguam Nik Elin Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman untuk mencabar dan membatalkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Antara peruntukan yang dianggap tidak sah ialah mengenai pemusnahan dan mencemarkan tempat ibadat (Seksyen 11), liwat (Seksyen 14), persetubuhan dengan mayat (Seksyen 16), persetubuhan dengan bukan manusia (Seksyen 17), dan gangguan seksual (Seksyen 31).

Kesalahan jenayah syariah lain yang menjadi pertikaian dalam permohonan itu ialah memiliki dokumen palsu dan memberi maklumat palsu (Seksyen 34), mabuk (Seksyen 36), persediaan untuk melakukan maksiat (Seksyen 45), dan penyalahgunaan label halal (Seksyen 42).

Justeru, dalam kes Nik Elin dan anaknya,Tengku Nastasya itu, apakah punca masalah, dan apakah penyelesaiannya pula?

1. Punca utama adalah sistem mahkamah itu sendiri. Di Malaysia kita ada dua sistem mahkamah yang tidak seimbang. Satu sistem mahkamah arus perdana di bawah kerajaan Persekutuan yang disebut juga sebagai mahkamah sivil, dan yang kedua ialah sistem mahkamah syariah di bawah bidang kuasa negeri yang memiliki kuasa terhad.

Sistem dua mahkamah

2. Bila ada dua sistem mahkamah, maka pertembungan dan pertindanan kuasa sukar dielakkan. Konflik ini cuba dikurangkan melalui pelbagai cara termasuk pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1988 dengan memasukkan Perkara 121(1A) bagi mengelakkan campur tangan mahkamah sivil dalam perkara di bawah bidang kuasa mahkamah Syariah. Pindaan ini berjaya mengurangkan gangguan terhadap bidang kuasa mahkamah Syariah, namun ia belum mampu memadamkan konflik dan pertindanan bidang kuasa.

3. Dari sudut sejarah, kerajaan-kerajaan di Tanah Melayu telah mengamalkan undang-undang Islam sejak beratus tahun dahulu. Buktinya ialah Batu Bersurat yang bertarikh 22 Februari 1303 dan dokumen-dokumen perundangan bertulis seperti Hukum Kanun Melaka. Namun penjajah British telah berusaha mengikis pelaksanaan undang-undang Islam dengan memperkenalkan undang-undang mereka secara pengasingan kuasa melalui siri-siri perjanjian dengan Raja-raja Melayu.

Kesan sekularisasi penjajah

4. British cuba menyerap pengaruh sekular dengan memisahkan urusan agama, yang disertakan juga dengan adat Melayu, dengan sistem perundangan dan pentadbiran secara keseluruhan. Definisi agama menurut fahaman British hanya meliputi urusan ibadat, undang-undang kekeluargaan, harta pusaka dan perkara-perkara lain-lain yang dimasukkan dalam definisi ‘undang-undang peribadi’ atau ‘personal law’ menurut pengalaman mereka di Britain. Dari sudut kesalahan atau jenayah pula, skop kuasa ‘agama’ hanyalah melibatkan kesalahan di bawah undang-undang keluarga, kesalahan berkaitan ibadat makan di khalayak ramai dalam bulan Ramadhan dan beberapa kesalahan berkaitan akidah, tatasusila dan pentadbiran agama.

5. Menjelang kemerdekaan, mereka membuat agihan kuasa antara negeri dan Persekutuan, dan kuasa berkaitan dengan ‘agama Islam’ menurut definisi mereka diserahkan kepada negeri dan kebanyakan urusan lain terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan. Kuasa berkaitan ‘undang-undang Islam’ dikecilkan skopnya menurut Butiran 1, Senarai Kedua, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Skopnya hampir sama dengan kesempitan definisi Islam dan Syariah yang dibawa oleh British.

6. Dalam masa yang sama Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan kuasa perundangan Persekutuan yang luas termasuklah dalam perkara menyentuh keselamatan dan undang-undang jenayah. Kedudukan undang-undang Persekutuan adalah lebih tinggi berbanding undang-undang di peringkat negeri menjadikan bidang kuasa Dewan Undangan Negeri untuk meluluskan undang-undang adalah sangat terhad. Demikian juga bidang kuasa mahkamah Syariah adalah sempit berbanding mahkamah sivil.

Perangkap istilah

7. Jika kita bercakap soal mendaulatkan Syariah dan melaksanakan hukum-hukum Allah sebagaimana yang terdapat Al-Quran dan Sunnah, maka sasaran utama sepatutnya menjurus kepada mengubah undang-undang di peringkat Persekutuan agar menepati sistem Islam. Demikian juga dari sudut sistem Mahkamah. Undang-undang Islam hanya dapat ditegakkan jika prinsip perundangan Islam dikuatkuasakan oleh mahkamah arus perdana atau mahkamah sivil.

8. Dari sudut sejarah, memang sepatutnya mahkamah sivil berubah kembali ke arah perundangan Islam, sebagaimana tingginya kedudukan undang-undang Islam sebelum kedatangan penjajah British. Islam adalah agama yang syumul atau menyeluruh. Syariah bukan sahaja soal keluarga atau kesalahan-kesalahan berkaitan akidah dan ibadah sahaja, bahkan seluruh aspek perundangan sesuai prinsip kesyumulan Islam.

9. Kadangkala kita terperangkap dengan istilah. Bila sebut Mahkamah ‘Syariah’, kita membayangkan mahkamah yang membicarakan soal kekeluargaan dan beberapa aspek kesalahan jenayah. Hakikatnya semua urusan hidup manusia sepatutnya terletak di bawah payung Syariah. Sepatutnya kuasa yang ada pada mahkamah sivil itu dimurnikan agar menepati Syariah. Ia perlu dilakukan tanpa perlu terikat dengan penjenamaan atau label-label.

10. Oleh itu perjuangan menegakkan Syariah, atau mempertahankan Syariah sepatutnya dihalakan kepada usaha untuk memurnikan keseluruhan sistem perundangan di peringkat Persekutuan agar menepati Syariah. Tumpuan keterlaluan kepada pemerkasaan Mahkamah ‘Syariah’ atau skop kuasa perundangan ‘Islam’ boleh mendatangkan kekeliruan kepada masyarakat awam dan menjadikan mereka lupa agenda yang lebih besar.

Roadmap sebenar

11. Walau bagaimana pun, dalam konteks usaha jangka pendek dan sederhana, kita tidak boleh menafikan kepentingan perjuangan untuk memperkasakan Mahkamah Syariah dan mempertahankan bidang kuasa undang-undang Islam negeri-negeri sebagaimana yang diperjuangkan. Usaha-usaha yang dilakukan oleh tokoh-tokoh perundangan Islam, para pentadbir kehakiman dan perundangan Islam, dan peguam-peguam untuk mengangkat dan membela kedudukan Mahkamah Syariah dan undang-undang Islam di bawah bidang kuasa negeri-negeri amat-amat bermakna. Mereka menjadi benteng penting dalam menangkis usaha berterusan kelompok liberal sekular yang mahu memadamkan cahaya perundangan Islam.

12. Namun masyarakat perlu disedarkan bahawa usaha untuk mengangkat martabat perundangan Islam tidak boleh terkongkong dalam definisi undang-undang Islam dalam skop Butiran 1, Senarai Negeri itu. Keadilan dan keindahan perundangan Islam tidak terhad setakat skop kuasa Mahkamah Syariah di bawah bidang kuasa negeri yang terhad itu. Tanggungjawab melaksanakan Syariah dalam maksud yang sebenar adalah tanggungjawab kerajaan Persekutuan. Inilah ‘roadmap’ sebenar pelaksanaan undang-undang Islam di Malaysia.

13. Berbalik kepada punca masalah kepada kes Nik Elin. Selain daripada punca utama iaitu sistem mahkamah di Malaysia, punca yang kedua ialah pertindihan kuasa undang-undang jenayah di bawah undang-undang negeri dan undang-undang Persekutuan. Sebenarnya isu pertindihan kuasa ini telah lama wujud dan menjadi perbahasan. Namun kes Nik Elin ini adalah kemuncak kepada pertembungan ini.

Menentukan sempadan

14. Sebelum ini ada dua teori utama bagi menghadapi pertindihan ini. Pertama, biarkan kewujudan bersama undang-undang yang memperuntukkan kesalahan yang serupa di negeri dan Persekutuan, dan pihak penguatkuasaan atau pendakwaan akan menentukan sama ada hendak mendakwa tertuduh di bawah undang-undang negeri atau Persekutuan. Misalnya dalam kesalahan liwat yang diperuntukkan di kedua-dua sistem perundangan iaitu di bawah Kanun Keseksaan dan juga Enakmen Jenayah Syariah negeri. Penguatkuasaan dilakukan bersama antara penguat kuasa Syariah dan pihak polis. Kemudian jika perlu didakwa, pihak-pihak bertanggungjawab akan memutuskan sama ada hendak didakwa di mahkamah sivil atau mahkamah Syariah.

15. Teori kedua ialah dengan menetapkan sempadan antara bidang kuasa ‘jenayah Syariah’ dan jenayah sivil. Teori kedua inilah yang diguna pakai oleh Mahkamah Persekutuan dalam membuat keputusan kes Nik Elin ini. Mahkamah Persekutuan menetapkan sempadan kuasa negeri dan Persekutuan dalam undang-undang jenayah berasaskan prinsip ‘isi dan intipati’ (pith and substance), iaitu satu kaedah yang digunakan sekian lama dalam mentafsirkan sempadan kuasa negeri dan Persekutuan dalam amalan federalisme di Malaysia.

16. Jika kita tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah dalam kes Nik Elin ini, kita wajar bertanya, adakah kita ingin mendesak agar teori pertama diguna pakai? Atau kita setuju dengan teori kedua, tetapi tidak setuju dengan sempadan yang ditetapkan oleh Mahkamah. Persoalan ini perlu dijawab secara jujur dengan melihat implikasi kepada kedua-dua teori atau pendekatan dalam menangani pertindanan bidang kuasa jenayah mahkamah Syariah dan mahkamah sivil.

Langkah proaktif

17. Perlu diingat bahawa definisi ‘jenayah Syariah’ menurut prinsip Syariah yang sebenar adalah meliputi semua jenis jenayah. Syariat Islam bersifat syumul atau menyeluruh. Kesalahan seperti rasuah, menculik, menipu, memukul, menyeleweng duit, merosakkan alam sekitar dan lain-lain adalah jenayah menurut Syariah. Jadi sempadan sebenar jenayah Syariah untuk dibandingkan dengan jenayah sivil sebenarnya tidak wujud. Oleh itu, sempadan yang wujud hakikatnya ialah sempadan antara bidang kuasa negeri dan Persekutuan.

18. Atas sebab itu sudut pandangan perjuangan membela Syariah perlu diluaskan dan tidak terperangkap kepada istilah ‘Syariah’ pada perkataan ‘Mahkamah Syariah’, dan istilah ‘undang-undang Islam’ di bawah bidang kuasa negeri dalam Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan. Tanggungjawab melaksanakan undang-undang Islam hakikatnya berada pada kerajaan Persekutuan.

19. Sehubungan dengan itu, adalah diharapkan perbincangan berkaitan kes Nik Elin ini tidak terlalu berbentuk meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak atau mengeluh dengan kuasa perundangan yang terhakis terutamanya di pihak kerajaan negeri. Namun apa yang perlu diutamakan ialah tindakan proaktif yang membuka jalan melaksanakan Syariah yang lebih meluas di peringkat yang lebih besar.

Tindakan segera

20. Susulan kes Nik Elin ini, desakan yang wajar disuarakan ialah:

a. Mendesak agar pihak kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Dalam Negeri dan PDRM agar mengambil tanggungjawab untuk menguatkuasakan undang-undang Persekutuan berkaitan 16 kesalahan yang serupa dengan undang-undang yang tidak lagi mempunyai kesan dari Enakmen Jenayah Syariah Negeri-negeri akibat kes Nik Elin.

b. Meminta agar segera diwujudkan satu mekanisme penyelarasan penguatkuasaan jenayah antara pihak-pihak berkuasa agama dan PDRM agar keputusan kes Nik Elin ini tidak menyebabkan wujudnya kelompangan dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan kesalahan-kesalahan jenayah yang telah digugurkan dari Enakmen Jenayah Syariah dan kesalahan-kesalahan lain yang wajar ditangani secara bersama.

c. Menggesa agar MKI (Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, agar bertindak dengan lebih pantas dan bertanggungjawab dalam usaha memartabatkan undang-undang Islam di Malaysia termasuklah dalam menangani implikasi negatif dari keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin.

d. Mencadangkan MKI menubuhkan Jawatankuasa Khas Harmonisasi Undang-undang Persekutuan, bagi menggerakkan usaha menerapkan prinsip Islam dalam sistem perundangan di peringkat Persekutuan secara sistematik dan strategik.

e. Menggesa semua pihak agar tidak menganggap perundangan Islam sebagai wilayah kekuasaan khusus pihak berkuasa negeri, tetapi sebagai satu amanah yang dipikul secara bersama di peringkat negeri dan Persekutuan. Oleh yang demikian kerajaan Persekutuan perlu diberi ruang seluas-luasnya untuk memperkenalkan undang-undang berteraskan Islam tanpa diikat dengan tapisan birokrasi yang melambatkan usaha memartabatkan Syariat Allah di bumi Malaysia yang tercinta ini.

f. Kesatuan dan kebersamaan seluruh umat Islam tanpa mengira perbezaan latar belakang politik dan pemikiran perlu menjadi keutamaan dalam memartabatkan perundangan Islam di Malaysia. Rundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan dengan mengetepikan sempadan politik demi kepentingan Islam amat-amat diharapkan.

Cabaran belum berakhir

21. Kita mengharapkan agar kes Nik Elin ini membuka mata umat Islam tentang kewujudan usaha berterusan segelintir manusia berfikiran liberal dan sekular untuk memadamkan sinar agama Allah. Kumpulan ini tidak pernah berhenti untuk merangka langkah demi langkah. Kes Nik Elin bukan menamat bagi mereka. Bersedialah dengan langkah mereka berikutnya.

22. Jutaan terima kasih buat para peguam yang gigih berusaha menghadapi mereka di medan mahkamah. Demikian juga penghargaan buat seluruh umat Islam yang sanggup berhimpun dan bersuara mempertahankan undang-undang Islam. Suara dan kehadiran pencinta Syariat ini membuka mata dunia tentang ketinggian agama Allah.

23. Maka, menjadi tanggungjawab pemerintah yang memegang amanah dari Allah untuk bertindak. Insya-Allah, keberanian untuk mendukung syariah akan menjadi bekalan yang amat berharga di akhirat nanti. Rakyat insyaAllah akan bersama-sama dengan pemimpin yang mempertahankan dan menjunjung syariat Allah SWT.

(Sumber:https://www.facebook.com/share/p/kij1m5tVoDqMqcWa/?mibextid=2JQ9oc)

Ulasan