Peristiwa 9 Feb serlah impak peninggalan penjajah





Peristiwa 9 Feb serlah impak peninggalan penjajah
February 10, 2024


KUALA LUMPUR: Peristiwa 9 Feb 2024 menyerlahkan impak dramatis peninggalan penjajah, yang secara tidak langsung telah mengubah landskap perundangan negara.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, meskipun pelbagai usaha telah dilakukan sehingga terbentuknya sistem mahkamah syariah, namun ia tetap masih jauh dari mencapai kesempurnaan hukum Islam secara menyeluruh.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan yang terkini mengenai cabaran terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, semalam (9 Feb) yang membatalkan 16 daripada 18 peruntukan enakmen tersebut, menimbulkan rasa kecewa mendalam dalam kalangan umat Islam di Malaysia.

“Penegasan dari Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, bahwa keputusan ini tidak berkaitan dengan doktrin Islam, tetapi lebih kepada interpretasi undang-undang, merupakan suatu yang perlu direnungi bersama dalam konteks penghormatan terhadap kedudukan syariah dalam perlembagaan negara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Tambah beliau, asas utama penghakiman adalah kerana kesalahan tersebut telah ada dalam mahkamah Persekutuan.

“Oleh itu, Mahkamah Syariah tidak sepatutnya membicarakan kes yang sama. Pertanyaannya, siapakah yang terlebih dahulu menggubal enakmen bagi kesalahan yang telah dibatalkan itu.

“Kita mengetahui bahawa undang-undang Islam telah digubal jauh lebih awal sebelum kedatangan Barat ke Tanah Melayu, bahkan sebelum wujudnya Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Menurut beliau, kaedah perbicaraan dan syarat menjadi hakim dalam mahkamah syariah jelas berbeza daripada syarat dalam mahkamah sivil.

“Bahkan, syarat menjadi saksi serta kaedah perundangan Islam memiliki sistemnya yang tersendiri.

“Maka, menyatakan bahawa mahkamah sivil juga sama dalam membicarakan kes-kes takzir adalah tidak tepat, kerana syarat saksi dan hakim tidak memenuhi syarat dalam sistem perundangan Islam,” hujahnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pertindihan kesalahan antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil seharusnya telah selesai sejak adanya peraturan yang membahagikan bidang kuasa antara negeri dan Persekutuan.

“Sesuatu Rang Undang-Undang (RUU) yang dibahas dalam Dewan Negeri telah melalui penapisan dan penelitian dari Penasihat Undang-Undang Negeri, yang merupakan wakil dari Pejabat Peguam Negara.

“Beliau tentunya telah meneliti secara mendalam sebelum RUU tersebut digubal untuk dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN). Setelah diluluskan, RUU tersebut sekali lagi dipersembahkan kepada Raja-Raja Melayu di setiap negeri sebagai pemimpin agama Islam negeri-negeri,” tegasnya.

Dengan pembatalan ini, ujar Tuan Ibrahim, banyak pihak yang seharusnya bertanggung jawab dalam hal ini.

“Namun, yang jelas, bidang kuasa Mahkamah Syariah semakin terhakis dan peranannya dalam melaksanakan perintah Allah menjadi semakin mencabar.

“Keputusan ini menunjukkan bahawa hukum syarak, yang sepatutnya menjadi panduan mutlak dalam pelaksanaan ajaran Allah, kini terasa semakin terpinggir di bawah bayang-bayang undang-undang ciptaan manusia yang bersifat sekular,” ujarnya.

Isu ini, tambah beliau, seharusnya tidak menjadi bahan politik oleh mana-mana pihak, khususnya di kalangan umat Islam, kerana keharusan untuk melaksanakannya merupakan perintah Allah yang jelas kepada seluruh umat Islam.

“Usaha untuk memperjuangkan kedudukan hukum syarak tidak seharusnya menimbulkan perpecahan atau dipolitikkan.

“Sebaliknya, ini adalah saat bagi umat Islam dan pihak berwajib untuk bersatu, mencari solusi yang memperkuat peranan syariah.

“Kita harus mengambil pelajaran dari kejadian ini sebagai momentum bergerak ke depan tanpa putus asa sehingga perundangan Syariah dapat terus menjadi cahaya petunjuk dalam kehidupan beragama dan bermasyarakat, sejalan dengan prinsip keadilan dan kebenaran yang diajarkan oleh Islam,” katanya lagi.

Beliau menyatakan, meskipun kecewa dengan keputusan mahkamah mengenai isu berkenaan, namun di sisi lain, pihaknya berharap iai akan membuka jalan bagi pemartabatan perundangan Syariah agar ditempatkan pada kedudukannya yang sebenar.

“Pindaan Perlembagaan harus dilakukan segera untuk mencegah mana-mana pihak mempertikaikan bidang kuasa perundangan negeri, DUN, dan Raja-Raja sebagai kepala agama dalam melaksanakan tugas mereka sebagai pelindung agama Islam di negeri-negeri,” ungkapnya.

“Kami dari Perikatan Nasional berjanji akan menyokong penuh segala usaha meminda Perlembagaan untuk mengangkat bidang kuasa mahkamah syariah.

“Jika sebelum ini PAS hanya memiliki 18 orang anggota parlimen dan kerajaan waktu itu tidak mempunyai majoriti dua pertiga seperti sekarang, maka sekarang adalah waktu yang terbaik bagi kerajaan untuk membawa perubahan Perlembagaan agar kedudukan Mahkamah Syariah ditempatkan pada posisi yang sebenarnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/2/2024

Ulasan