SALAH FAHAM SERIUS TENTANG KES NIK ELIN


SALAH FAHAM SERIUS TENTANG KES NIK ELIN

Salah Faham 1 : Pertindanan Undang-Undang

Tuduhan:-
1. Mahkamah Persekutuan batalkan 16 Kesalahan kerana pertindanan dengan undang-undang Persekutuan
2. Kesemua 16 kesalahan sudah ada dalam Kanun Keseksaan
3. Kesemua 16 kesalahan ada dalam undang-undang Persekutuan
4. Kesemua 16 kesalahan tidak lenyap dari muka bumi Malaysia

�Jawapan:-
1. Mahkamah Persekutuan tidak membatalkan 16 Kesalahan kerana ada pertindanan dengan undang-undang Persekutuan. Mahkamah tidak melihat sama ada wujud atau tidak undang-undang persekutuan yang sama dengan 16 kesalahan tersebut, lalu membatalkannnya. Bahkan, Mahkamah menolak pendekatan sedemikian (yang digunakan oleh kes sebelumnya iaitu kes Sulaiman Takrib oleh Tun Abdul Hamid Mohamad).
2. Tidak, tidak kesemua 16 Kesalahan tersebut ada dalam Kanun Keseksaan atau undang-undang Persekutuan. Kesalahan Seksyen 37 (1)(b) tentang orang Islam menganjurkan perjudian TIDAK ADA dalam undang-undang persekutuan. Kesalahan Seksyen 41 tentang muamalat mengandungi riba’ TIDAK ADA dalam undang-undang persekutuan.
3. Pendekatan Mahkamah Persekutuan ialah melihat kepada Senarai Persekutuan. Sekiranya ada “perkara subjek” yang disentuh oleh 16 Kesalahan tersebut dalam Senarai Persekutuan, maka ia batal. Contohnya, kesalahan Seksyen 37(1)(b) tentang orang Islam mengajurkan perjudian menyentuh tentang “perkara subjek” “betting” dalam Senarai Persekutuan. Maka apabila ia jatuh dalam “perkara subjek” itu, ia batal. Sama seperti Seksyen 41 tentang riba’, Mahkamah berpendapat bahawa ia jatuh dalam “perkara subjek” “perbankan”, maka ia batal.
4. Kes Nik Elin mengesahkan pendekatan dalam kes Iki Putra IAITU kalau peruntukan enakmen negeri termasuk dalam “perkara subjek” dalam Senarai Persekutuan, IA TETAP BATAL walaupun tidak ada kesalahan yang sama yang dibuat di peringkat Persekutuan. Ulang, WALAUPUN TIDAK ADA KESALAHAN SAMA di peringkat persekutuan.
5. Sebab itu, menganjurkan judi dan muamalat riba’ TETAP BATAL walaupun tiada peruntukan jenayah yang sama dalam Kanun Keseksaan atau akta-akta lain.
6. Kita lihat “spin” yang dibuat oleh infografik oleh “Islah”. Infografik menyebut seksyen-seksyen dalam Kanun Keseksaan, tetapi bila tiba tentang kesalahan muamalat riba’, ia hanya menyatakan “Kewangan Bawah Senarai Persekutuan” tanpa menyatakan apakah seksyennya. Kerana apa? Kerana TIADA KESALAHAN YANG SAMA dalam undang-undang persekutuan.
7. Salah faham ini bukan sahaja berlaku dikalangan masyarakat awam yang mungkin kurang faham apabila membaca penghakiman penuh, namun dikalangan peguam khususnya peguam-peguam tiktok yang hanya mahu “into the scene” bagi menunjuk tahu atau menaikkan view. Hentikanlah saudara-saudari.

Salah Faham 2: PAS lawan Nik Elin

Tuduhan:-
1. PAS tunggang isu untuk katakan Islam terancam
2. PAS kaitkan dengan isu agama

Jawapan:-
1. Kes ini tiada kaitan dengan PAS. Kes ini berkaitan dengan Enakmen Kelantan
2. Banyak sekali pihak-pihak hadir sebagai “amicus curae” atau “watching brief”. Antaranya ialah Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Terengganu (MAIDAM), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK), Badan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan (BPS), Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).
3. Mereka ini bukan PAS. MAIWP, MAIPK, MAIDAM dan MAIK secara khususnya berhujah menyokong Kerajaan Kelantan mempertahankan Enakmen Kelantan. Mereka bukan PAS.
4. Peguam yang dilantik mewakili pelbagai pihak tadi adalah dari pelbagai latarbelakang, dan kecenderungan politik. Hj Haniff Khatri (PPMM) diketahui bukan daripada PAS. Datuk Adnan Seman (MAIWP) dan Datuk Adli (MAIM) diketahui adalah pejuang UMNO/BN. Saudara Rafiq diketahui daripada Pejuang. Datuk Zainul Rijal, Datuk Kamarulzaman, Datuk Nik, saudara Azali, saudara Tabian Tahir, saudara dan lain-lain diketahui non-partisan. Pasukan ini adalah pasukan besar yang menyaksikan gemblengan tenaga merentas politik untuk sama-sama mempertahankan Enakmen Kelantan. Kenapa? Kerana semua kami mengetahui kesannya yang besar kepada Enakmen-Enakmen negeri lain, dan kuasa gubalan DUN negeri-negeri lain. Ia bukan tentang PAS.
5. Ramai sekali yang mencerca PAS, tanpa memikirkan bahawa ia adalah usaha bersepadu rentas politik yang sangat baik. Ia sebenarnya hanyalah mengentengkan usaha ramai pihak yang berminat tentang isu ini dan melakukan “red herring” kononnya PAS yang membawa isu ini, lantas mudah dicerca.

Salah Faham 3: Enakmen Kelantan batal kerana DUN tidak teliti

Tuduhan:-
1. DUN Kelantan buat undang-undang tanpa semak kuasa
2. DUN Kelantan tidak dapatkan nasihat
3. DUN Kelantan tidak ikut prosedur
4. ADUN-ADUN Kelantan makan gaji buta, tidak pandai dsb

Jawapan:-
1. Enakmen Kelantan yang digubal pada tahun 2019 merupakan saduran dan penambah baikan daripada Enakmen-Enakmen sebelumnya. Kebanyakan peruntukkan adalah daripada Enakmen lama. Penambah baikan adalah usaha Kelantan untuk memperkasakan undang-undang syariah di Kelantan.
2. Peruntukan Enakmen Kelantan rata-ratanya adalah sama (sama ada dari segi intipati atau perkataannya) dengan Enakmen-Enakmen Negeri Lain. Enakmen Pahang 2013 ada 3 seksyen yang sama (munchikari, judi, salah guna logo halal), Enakmen Pulau Pinang 1996 ada 7 seksyen yang sama (judi, sumbang mahram, munchikari, liwat, mencemarkan masjid, maksiat, salah guna logo halal), Enakmen Negeri Sembilan ada 4 Seksyen yang sama (Muchikari, judi, liwat, cemar tempat solat), Enakmen Selangor 1995 ada 3 seksyen yang sama (Munchikari, judi, salahguna logo halal), Enakmen Johor 1997 ada 7 seksyen yang sama (judi, sumbang mahram, munchikari, liwat, keterangan palsu, galak maksiat, salah guna logo halal).
3. Negeri-Negeri di atas tidak diperintah oleh PAS. Adakah ADUN-ADUN negeri-negeri tersebut juga tidak semak, tidak dapatkan nasihat, tidak ikut prosedur, tidak pandai dan sebagainya.
4. Hakikat sebenarnya adalah, segala proses yang perlu sehingga kepada perkenan Sultan negeri-negeri terbabit telah dilakukan sebelum ia dikuatkuasakan. Sesetengah daripada peruntukkan yang sama tersebut telah berkuatkuasa semenjak tahun 90-an lagi tanpa diganggu. Ini kerana DUN negeri-negeri berpendirian bahawa negeri mempunyai kuasa untuk menggubal kesalahan-kesalahan demikian.
5. Hentikanlah dakyah palsu terhadap DUN Kelantan.

Salah Faham 4: Hukuman Jenayah Sivil lebih berat

Tuduhan:-
1. Walaupun 16 Kesalahan Enakmen Kelantan telah dibatalkan, undang-undang sivil dengan hukuman lebih berat masih ada
2. PAS mahu menghukum dengan lebih ringan

Jawapan:-
1. Seperti dikatakan di atas, ia bukan pertindanan undang-undang. Jenayah syariah melakukan mualamat riba’ LANGSUNG TIDAK MENJADI JENAYAH di peringkat persekutuan. TIADA HUKUMAN. Maka, bagaimanakah kita mahu hujahkan bahawa undang-undang sivil lebih berat dari aspek itu?
2. Sememangnya keringanan hukuman itu telah disedari pengamal undang-undang dan PAS lama dahulu. Sebab itulah diusulkan supaya Akta355 dipinda untuk menaikkan hukuman sedia ada. Menurut rekod, Kerajaan telah bersedia untuk membentangkan pindaan Akta355, namun terhenti kerana pembubaran parlimen untuk memberi laluan kepada PRU 15.
3. Pokoknya, sekiranya hukuman jenayah syariah itu ringan, maka tindakan paling wajar ialah meninggikannya. Bukannya keringanan hukuman itu dijadikan alasan untuk membatalkan terus kesalahan tersebut yang ada diantaranya belum wujud di peringkat persekutuan.
4. Dalam apa jua keadaan, keringanan hukuman tersebut bukanlah alasan yang digunakan oleh Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan 16 Kesalahan Enakmen Kelantan tersebut. Ia adalah alasan yang di”spin” oleh pihak tertentu tanpa ada apa-apa asas undang-undang.

Mohd Faizi Che Abu
Ketua Pengarah JUHAM

Ulasan