287 pelajar sekolah di Nigeria diculik

Seorang wanita menangis ketika dia merayu pihak kerajaan untuk membantu menyelamatkan pelajar sekolah yang diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata di Chikun, Nigeria pada 8 Mac 2024. (FOTO: AP)

287 pelajar sekolah di Nigeria diculik
March 8, 2024

KURIGA: Kira-kira 287 orang pelajar sekolah di bandar Kuriga, barat laut Nigeria telah diculik pada hari Khamis ketika sesi persekolahan baru sahaja hendak bermula, dalam penculikan beramai-ramai kedua di negara Afrika Barat dalam masa kurang dari seminggu.

Pihak berkuasa sebelum ini berkata lebih 100 pelajar telah diculik dalam serangan pertama itu; dan insiden penculikan terbaharu itu adalah yang terbesar yang pernah berlaku di negara itu sejak tahun 2021.

Guru besar, Sani Abdullahi memberitahu gabenor Kaduna, Uba Sani ketika beliau melawat bandar itu pada Khamis bahawa jumlah pelajar yang hilang selepas pengiraan dibuat mencecah 287 orang, lapor The Guardian.

Menurut laporan BBC pula, kejadian itu berlaku ketika semua pelajar di sekolah berkenaan sedang dalam perhimpunan kira-kira pada jam 8 pagi, sebelum diserbu sekumpulan puluhan lelaki bersenjata yang datang menaiki motosikal.

Murid-murid yang terlibat dengan insiden itu berumur antara 8 hingga 15 tahun dan bersekolah di sekolah menengah kerajaan dan sekolah rendah tempatan.

“Bagaimana mereka boleh datang dan menculik murid-murid ini? Ia sangat menyedihkan,” kata ketua penduduk di wilayah itu, Iliyasu Mohammed.

Penculikan telah menjadi suatu perkara yang biasa dan merisaukan penduduk di utara Nigeria sejak 2014, yang menyaksikan seramai 200 pelajar perempuan telah diculik di Kampung Chibok, dalam wilayah Borno.

Walau bagaimanapun, insiden penculikan telah mula beralih ke wilayah barat laut dan tengah negara itu, di mana kumpulan bersenjata akan menculik penduduk dan pelancong untuk mendapatkan wang tebusan. – HARAKAHDAILY 8/3/2024

Ulasan