Francais Starbucks di Asia Barat rancang pecat 2,000 kakitangan




Francais Starbucks di Asia Barat rancang pecat 2,000 kakitangan
AKTIVIS kumpulan Chicago Youth Liberation for Palestine membantah pencerobohan Israel di Gaza di Starbucks, Chicago, Illinois pada 31 Disember tahun lalu. -REUTERS
Oleh Wartawan Luar Negara

LONDON: Syarikat di belakang Starbucks di Asia Barat mendedahkan rancangan pemberhentian kerja 2,000 orang kakita­ngannya di tengah-tengah boikot pengguna yang dikaitkan dengan perang Israel-Hamas.

Pemilik francais AlShaya Group merancang memberhentikan empat peratus daripada 50,000 tenaga kerjanya di seluruh Asia Barat dan Afrika Utara (MENA), menurut agensi berita Reuters yang memetik beberapa sumber.

Sebahagian besar pekerjaan akan merentasi perniagaan francais Starbucks.

AlShaya yang berpangkalan di Kuwait berkata, hasil daripada keadaan dagangan yang sentiasa mencabar sejak enam bulan lalu, pihaknya mengambil keputusan yang menyedihkan dan sangat sukar untuk mengurangkan bilangan rakan pekerja di kedai Starbucks MENA.

“Kami akan memastikan bahawa kami memberi rakan pekerja kami yang meninggalkan perniagaan dan keluarga mereka, sokongan yang mereka perlukan,” tambah kenyataan itu.

Pemboikotan yang dikaitkan dengan peperangan membuktikan bukan sahaja mengheret perniagaan AlShaya tetapi juga perniagaan Starbucks sendiri apabila pembayaran royalti terjejas.


Rantaian itu juga menghadapi protes di luar rantau ini, terutamanya di Amerika Syarikat.

Mereka dikaitkan dengan syak wasangka berat sebelah pro-Israel, satu persepsi yang dinafikan syarikat itu dan menegaskan bahawa mereka tidak memihak.

Sesetengah pelanggan me­ngubah persepsi mereka selepas Starbucks mengambil tindakan undang-undang pada Oktober tahun lepas terhadap kumpulan kakitangan yang menuntut hak kesatuan dikenali Workers United, menggunakan nama Starbucks dan logo yang serupa.

Satu catatan dari akaun media sosial kesatuan itu pada Oktober lalu menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin sebelum dipadamkan.

“Kami melihat penunjuk pe­rasaan dipengaruhi oleh salah nyata dalam media sosial tentang apa yang kami perjuangkan,” kata Ketua Eksekutif Alshaya Group, Laxman Narasimhan dalam mesej kepada kakita­ngan.

Ia kemudiannya mendedahkan tahap kerosakan kepada jualan daripada boikot selepas kehilangan jangkaan pasaran untuk keputusan suku pertama kewangannya.

AlShaya mempunyai hak untuk mengendalikan kedai kopi Starbucks di Asia Barat sejak 1999.

Ulasan