Pelancong tak singgah Kedah, hanya ‘lalu’ untuk ke Hatyai





Pelancong tak singgah Kedah, hanya ‘lalu’ untuk ke Hatyai
KOMPLEKS ICQS Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu hanya menjadi laluan untuk ke Thailand oleh pelancong tanpa singgah di negeri Kedah. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Oleh JAMLIAH ABDULLAH
6 Mac 2024, 8:22 am

ALOR SETAR: Kebanyakan pelancong yang ingin ke Thailand khususnya Hatyai tidak singgah di Kedah untuk melawat tempat menarik di negeri ini sebelum meneruskan perjalanan ke sempadan di Bukit Kayu Hitam.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Bau Wong Bau Ek berkata, kerajaan negeri perlu lebih proaktif dalam mempromosikan tempat-tempat menarik untuk menarik perhatian pelancong.

“Baru-baru ini media melaporkan dianggarkan sebanyak RM10 juta mengalir keluar dalam tempoh tiga hari ketika sambutan Hari Krismas apabila lebih 100,000 melancong ke Thailand. Tahun lepas sehingga Oktober sebanyak tiga juta rakyat Malaysia ke Thailand dan lebih 700,000 dari Thailand.

“Saya berpandangan strategi penambahbaikan perlu dilaksana merangkumi alternatif pengangkutan dan keselamatan yang perlu dipertingkatkan kerana Kedah ada kelebihan kerana lokasi kita bersempadan dengan Thailand.

“Peluang ini perlu dimaksimumkan supaya pelancong singgah ke Kedah sebelum masuk Thailand dengan harapan mereka belanja di Kedah dulu jadi ekonomi negeri ini lebih baik,” katanya.

Bau Wong (PH-Sidam) berkata demikian pada sesi perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sempena Sidang DUN Kedah di Wisma Darul Aman di sini, semalam.


Usul itu dipersetujui oleh Azhar Ibrahim (PN-Ayer Hitam) yang membangkitkan tentang pelancong dari Indonesia yang memilih untuk ‘lalu’ sahaja di Kedah ketika mereka ingin menjamu selera di negara gajah putih itu setiap minggu.

“Baru-baru ini dalam satu me­syuarat, imigresen memberitahu ada 300 pelancong Indonesia dari Pulau Pinang nak pergi makan di Thailand mereka lalu saja Kedah. Setiap minggu, mereka tidak singgah Sungai Petani atau Gurun,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Bau Wong, makanan dan barangan yang murah dipercayai menjadi faktor Thailand menjadi pilihan ramai pelancong.

“Kalau pergi sana memang makanan murah. Tetapi di Kedah juga mempunyai tempat menarik seperti Pulau Songsong di Yan.

“Kerajaan negeri perlu buat sesuatu supaya pelancong ini singgah di Tanjung Dawai atau Gunung Jerai dahulu sebelum mereka ke Thailand,” katanya. – UTUSAN

Ulasan