Sesuaikan pembangunan di kawasan bukit jamin keselamatan awam



Sesuaikan pembangunan di kawasan bukit jamin keselamatan awam
Oleh Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo - Mac 5, 2024 @ 12:30pm
Sejak Tragedi Highland Tower pada 1993 berlaku akibat gelinciran tanah hingga mengorbankan 48 nyawa, kerajaan dan masyarakat mula memberikan perhatian kepada isu pembangunan di kawasan perbukitan.

Antara impak ketara adalah langkah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyediakan Garis Panduan Perancangan Pembangunan Kawasan Bukit dan Tanah Tinggi, beberapa tahun berikutnya.

Ada dua kategori isu perlu diberikan perhatian. Pertama, kestabilan cerun berhubung hakisan dan gelinciran menggugat keselamatan awam dan harta benda, manakala kedua membabitkan kawasan sensitif alam sekitar (KSAS), iaitu pembangunan yang boleh menyebabkan kerosakan alam sekitar, bencana alam serta keselamatan awam.

Pada prinsipnya, penyelesaian diterjemahkan kepada beberapa parameter berkaitan topografi terutama ketinggian dan sudut cerun. Bukit dan tanah tinggi dibahagikan kepada tanah rendah untuk kurang 150 meter, bukit (150 hingga 300 meter), tanah tinggi (300 hingga 1,000 meter) dan pergunungan (lebih 1,000 meter).
DISYORKAN UNTUK ANDA










Sementara itu, cerun dibahagikan kepada kelas I hingga 4 berasaskan sudut cerun. Berdasarkan pendekatan ini, pelbagai syarat pembinaan diperkenalkan. Ringkasnya, tiada pembinaan dibenarkan pada ketinggian melebihi 1,000 meter atau pada sudut cerun melebihi 35 darjah.

Saya dijemput menyampaikan kertas kerja mengenai rancangan pembangunan di kawasan bukit dan tanah tinggi pada Persidangan Tahunan PlanMalaysia Johor. Umumnya, ia bertujuan mengupas isu baharu muncul dan penambahbaikan garis panduan sedia ada, terutama selepas kejadian bencana aliran puing di Bentong, Hulu Langat, Jerai, Gunung Inas dan Empangan Kenyir.


Kematian dan kemusnahan berlaku di kawasan perkampungan di kawasan dataran rendah kurang 150 meter di kaki tanah tinggi dan pergunungan.

Saya berpendapatan pendekatan perancangan pembangunan di kawasan bukit dan tanah tinggi memerlukan falsafah serta wawasan baharu menyokong pembangunan lestari dan mengambil pendekatan syumul.

Pertama, perhatian perlu diberikan kepada falsafah pembangunan, iaitu kesesuaian tapak, keselamatan awam dan kos pembinaan optimum. Hubungan antara kesesuaian tapak dengan jenis pembinaan adalah kunci kejayaan yang mampu mengatasi isu keselamatan awam dan kos pembinaan berlebihan.

Oleh itu, perancangan pembangunan berasaskan kesesuaian wilayah perlu diutamakan, sebelum rancangan pembangunan suatu kawasan dan tapak diluluskan.

Penilaian kesesuaian wilayah boleh diasaskan kepada dua prinsip, iaitu kepelbagaian landskap dan sistem lembangan sungai. Landskap adalah terjemahan daripada proses pembentukan bukit, tanah tinggi dan pergunungan.

Pergunungan terbentuk oleh proses dalaman bumi, terutama perlanggaran kerak benua atau dalam bahasa sains dikenali sebagai 'pergerakan kepingan tektonik'. Banjaran Himalaya terbentuk hasil perlanggaran kepingan India dengan kepingan Asia.

Perlanggaran masih berterusan hingga sekarang dengan kadar beberapa sentimeter per tahun menyebabkan terbentuk pergunungan tertinggi di dunia. Buktinya, gempa bumi sering berlaku di sepanjang sempadan perlanggaran.

Bentuk bukit dan tanah tinggi kelihatan sekarang ialah hasil proses luaran (susutan darat), iaitu luluhawa, hakisan dan tanah runtuh yang berlaku secara berterusan selepas pergunungan terbentuk.

Banjaran Titiwangsa terbentuk hasil perlanggaran serpihan kerak benua Malaya Barat (dikenali Sibumasu) dengan kerak benua Malaya Timur (dikenali Indochina) pada 250 juta tahun dahulu tetapi sejak itu, proses tektonik sudah tidak aktif.

Morfologi yang terjelma sekarang ialah hasil proses luluhawa, hakisan air dan tanah runtuh. Ia membentuk banjaran berpematang, dataran tinggi (plateau), bukit terasing, ngarai, lurah dan lembah. Semua ini adalah hasilan proses sungai dalam sebuah lembangan.

Di negara ini, perancangan guna tanah bersesuaian ialah berasaskan sistem lembangan, sementara kesesuaian kegunaan dinilai berasaskan jenis dan bentuk morfologi dalam sebuah lembangan.

Sebuah lembangan ialah sistem perubahan morfologi disebabkan hakisan air. Kepelbagaian bentuk adalah kesan hakisan dipengaruhi struktur batuan, kekerasan batuan dan kestabilan cerun. Bentuk yang kelihatan adalah keadaan kestabilan cerun semasa, sekurang-kurangnya dalam tempuh puluhan hingga ratusan tahun.

Di wilayah tropika lembap dengan curahan hujan melebihi 2,000 milimeter per tahun dan suhu melebihi 25 darjah Celsius, kadar luluhawa sangat tinggi menyebabkan profil luluhawa terbentuk dengan tebal.

Profil luluhawa mewakili perubahan daripada batuan segar menjadi tanah baki. Ertinya, kerencaman dan kekuatan batuan berkurangan dan sifat mekanik cerun diwakili kelakuan kejuruteraan tanah baki, bukannya batuan asal. Dalam keadaan begini, pengelasan sudut cerun seperti dalam garis panduan perancangan mungkin masih relevan.

Pembentangan kertas kerja mengenai perancangan guna tanah di kawasan bukit dan tanah tinggi sekadar mencetus kesedaran supaya garis panduan pembangunan dinilai semula dan diperbaiki.

Tiga perkara asas perlu diberikan perhatian. Pertama, bentuk landskap adalah gambaran jenis dan struktur batuan berada di bawahnya. Kedua, sistem lembangan menjadi wakil proses luaran bekerja secara berterusan membentuk morfologi semasa. Ketiga, proses luluhawa kimia menghurai batuan segar menjadi profil tanah yang tebal.

Bagi tujuan perancangan pembangunan, ketinggian dan sudut cerun adalah wakilan proses geologi dalaman dan luaran semasa. Banyak kawasan tanah tinggi, khususnya di Sabah dan Sarawak sesuai dibangunkan.

Tanah tinggi atau cerun curam bukan hambatan untuk pembangunan selamat. Penilaian perancangan perlu mengambil kira kesesuaian tapak untuk jenis pembinaan, kestabilan cerun berasaskan kepelbagaian sifat batuan dan pertimbangan untuk pengoptimuman kos pembinaan dan penyelenggaraan.

Penulis adalah Pengerusi Pasukan Bertindak Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM)

Ulasan