Sukar tentukan siapa bocorkan maklumat – Azalina



Sukar tentukan siapa bocorkan maklumat – Azalina
AZALINA OTHMAD SAID
Oleh ARIF AIMAN ASROL


PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia menyiasat dakwaan pihak tertentu bahawa terdapat pegawainya yang membocorkan maklumat kepada media atau pihak lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bagaima­napun berkata, berdasarkan rekod SPRM, masih belum ada laporan polis yang dibuat berhubung perkara itu.

Menurutnya, terdapat banyak pihak akan terlibat dalam proses siasatan SPRM atas kapasiti sebagai suspek, saksi, pihak mahkamah, peguam dan pemberita semasa proses permohonan reman dibuat.

“Siasatan SPRM di mana-mana premis juga sering menjadi perhatian umum, justeru pelbagai pihak yang berkenaan semasa penyiasatan tersebut berlaku juga mempunyai pe­ngetahuan berkaitan siasatan tersebut.

“Oleh demikian adalah agak sukar untuk mengesahkan atau menuduh mana-mana pihak sebagai terlibat dalam apa-apa pembocoran maklumat berkaitan sesuatu siasatan,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) yang meminta untuk menyatakan adakah laporan polis telah dibuat dan apa tindakan kerajaan berkaitan kebocoran maklumat kepada media melalui ‘sumber.’


Mengulas lanjut, Azalina Othman menegaskan bahawa pegawai SPRM sudah semestinya akan mengawal maklumat berkait dengan sesuatu penyiasatan bagi mengelakkan maklumat tersebut terdedah kepada pihak tidak berkaitan dan boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

“Bagi kes-kes salah laku yang tidak bersifat jenayah terhadap pegawai-pegawai SPRM, ianya akan dirujuk kepada Jawatankuasa Aduan yang ditubuhkan di bawah Seksyen 15 Akta Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (Akta 694).

“Bagi kes-kes jenayah yang melibatkan pegawai-pegawai, ia akan dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala kes-kes berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan akan disiasat oleh SPRM kerana ia adalah di bawah bidang kuasa SPRM.

“Dalam hal ini, SPRM memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara profesional, telus dan adil bagi memastikan tiada pihak teraniaya,” jelasnya. – UTUSAN

Ulasan