Tunggakan KAHB: Steven tidak spesifik tarikh sebenar


Tunggakan KAHB: Steven tidak spesifik tarikh sebenar
March 14, 2024

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) didesak mendedahkan tarikh sebenar bermulanya tunggakan bayaran gaji yang dibuat Kedah Agro Holding Berhad (KAHB) kepada pekerjanya.

Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berkata, tunggakan bayaran gaji tersebut setelah dibuat semakan daripada dokumen-dokumen yang berkaitan, didapati bukan daripada bulan September tetapi bermula tahun 2016 dahulu.

“Saya ingat minta penjelasan daripada YB Menteri supaya kita boleh dapat clarify (jelaskan) benda ini. Kita boleh dapat perinci supaya tidak berlakulah persepsi salah sangka sepertimana Jelutong dan juga Sungai Petani tadi mengelirukan dewan,” katanya.

Beliau mengemukakan perkara itu ketika mencelah Menteri Sumber Manusia semasa sesi Jawapan oleh YB Menteri-Menteri ke atas Perbahasan Titah Diraja di sini sebentar tadi berikutan isu KAHB dibangkitkan Sanisvara Nethaji Rayer Rajaji (PH-Jelutong) dan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong bagaimanapun dalam jawapannya hanya memberi penegasan umum bahawa pekerja berhak ke atas gaji mereka dan pihaknya menerima laporan tunggakan itu ialah bulan September.

“Jadi saya nak minta supaya ya kita dah bagi notis kepada majikan iaitu pihak Kedah Agro dan Kedah Agro juga telah berjanji untuk meminta bantuan kerajaan negeri menyelesaikan isu tunggakkan gaji, itu saya ucapkan terima kasih,” ujarnya.

Datuk Awang bangkit sekali lagi menggesa Menteri KSM menyiasat bermula bila tunggakan bayaran gaji oleh KAHB berikutan Ahli Parlimen Jelutong dan Sungai Petani terus ‘spark’ apabila disebut berkaitan Kerajaan Negeri Kedah.

Menteri KSM kemudiannya berkata, bahawa beliau tidak mahu melibatkan pihak atau kepentingan politik, serta mengulang jawapan sama seperti sebelumnya, selain meminta Pendang mencari maklumat. – HARAKAHDAILY 14/3/2024

Ulasan