UMNO dah ‘pening lalat’ dengan DAP – Hashim



Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB dan IZLIZAN OTHMAN
3 Mac 2024, 8:03 am

Mukadimah

MURSYIDUL Am Pas, DATUK HASHIM JASIN dilihat sentiasa konsisten dalam usaha ke arah penyatuan ummah bagi menyatupadukan parti-parti Melayu Islam di negara ini menjadi kenyataan seterusnya mengukuhkan kuasa Melayu Islam sebagai pemerintah.

Malah, Hashim sebelum ini juga tetap berharap untuk melihat kerjasama Pas dan UMNO iaitu membabitkan dua parti terbesar Melayu Islam melalui Muafakat Nasional (MN) itu kembali dihidupkan selain pada masa sama tidak akan meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Harapan Hashim tindak tanduk pemimpin DAP yang sering mengeluarkan kenyataan menguris hati umat Islam membuka mata UMNO untuk kembali ke pangkal jalan bersama Pas menghidupkan semula MN yang sebelum ini mendapat sokongan kuat akar umbi.

Wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB dibantu jurugambar, IZLIZAN OTHMAN menemu ramah Hashim bagi mendapatkan pandangan beliau.

MINGGUAN: Apakah yang mendorong ustaz yang sentiasa konsisten berharap kepada penyatuan ummah di dalam Muafakat Nasional (MN)?

HASHIM: Agenda perpaduan ummah bukan sahaja daripada Pas sebaliknya adalah tuntutan daripada Allah SWT dan banyak hadis disebut dan panduan bagi mencapai perpaduan ummah itu. Jadi, Pas konsisten meneruskan agenda perpaduan ummah dan ia wajib kita laksanakan.

Pendirian Pas, kita tidak pernah tutup agenda perpaduan ummah ini dan tidak pernah kita isytihar musuh dengan UMNO sehingga hari ini. Meskipun kita ajak dia (UMNO) hidupkan MN dia tidak mahu, namun kita tetap letak harapan tinggi agar MN kembali dihidupkan.
MN kalau sakit, kita ubati. Perkara ini perlu dalam suasana sekarang yang mengizinkan ke arah itu. Selepas menandatangani piagam MN sebelum ini, isu seperti boikot, permusuhan antara kedua-dua parti itu selama ini telah dapat diselesaikan dan masyarakat menerima agenda perpaduan ummah ini.

Saya yakin agenda perpaduan ummah ini lebih mudah diterokai berbanding masa dahulu dengan suasana sekarang mengizinkan kita ke arah perpaduan ummah itu.

BUKA RUANG

Adakah Pas sedia membuka ruang penyatuan Melayu Islam untuk parti-parti politik Melayu Islam lain seperti Amanah?

Pas sentiasa terbuka menerima parti-parti Melayu Islam dalam semangat perpaduan ummah ini. Kalau dilihat, Pas bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh menerima Gerakan di dalam Perikatan Nasional (PN) walaupun bukan Islam, apatah lagi kalau parti Islam ingin bersama.

Kita terima Gerakan sebab dia tidak pernah ganggu perjuangan dan dasar-dasar kita. Bukan Islam seperti Gerakan kita terima, apatah lagi parti-parti Islam. UMNO, contohnya, kita tidak pernah tutup pintu kerjasama tersebut. Meskipun ada sedikit halangan namun saya yakin halangan-halangan itu akan dapat diatasi.

UMNO dikatakan menolak usaha menghidupkan kembali MN?

Yang tolak Presiden UMNO dan beberapa pemimpin sahaja namun ramai di dalam UMNO sebenarnya mahu kerjasama di dalam MN ini. Apabila UMNO tolak, orang juga akan dapat nilai siapa sebenarnya yang mewujudkan halangan ke arah kerjasama di dalam MN ini.

Adakah dengan menghidupkan kembali MN dapat menyelamatkan kuasa orang Melayu Islam sebagai pemerintah negara?

Bukan setakat itu sahaja, malah ia akan terbuka jalan lebih luas iaitu apabila kita berkuasa apa kita hendak buat bukan sekadar lantik Menteri Besar atau pemimpin-pemimpin kita sebaliknya soal lebih besar. Apa yang penting untuk kita mengikut panduan di dalam agama Islam apabila diberikan kuasa. Pertama dirikan solat, zakat dan seru ke arah kebaikan dan menentang kemungkaran sebagai kerajaan.

Kerajaan sekarang, fokus kepada mengekang rasuah dan perkara itu betul tidak salah namun sempurnakah hanya perkara seperti itu sahaja? Dalam Islam ini, bukan sahaja penerima rasuah perlu dihukum malah pemberi rasuah juga perlu dikenakan tindakan sama.

Adakah isu memperkasakan dan menghidupkan kembali MN pernah dibincangkan dalam Pas?
Memang tidak ada perbincangan khusus untuk perkara itu, namun dasar Pas ke arah perpaduan ummah. Selagi bergerak ke arah perpaduan ummah, kita jalan secara terus menerus walaupun cara tidak rasmi. Kita lihat pemimpin utama Pas, dalam setiap suasana dan keadaan tidak pernah menolak itu dan ini. Kita terima kerana ia adalah panduan daripada Allah SWT.

UMNO DAN DAP
Adakah ustaz melihat tindak-tanduk pemimpin DAP yang sering mengeluarkan kenyataan mengundangkan ketidakselesaan umat Islam akan membuka mata UMNO untuk kembali kepada MN?

Apa yang dibuat oleh DAP saya lihat daripada sudut positif secara tidak langsung akan memberi kesedaran sendiri kepada UMNO.

Kalau dulu kita beritahu DAP tidak boleh dibuat kawan dan sekarang UMNO boleh merasainya sendiri melalui kenyataan-kenyataan pemimpin-pemimpinnya seperti Perdana Menteri bukan Melayu, lantik pakar perundangan dalam jawatankuasa syariah dan banyak lagi.
Ini menunjukkan bukti betapa bahayanya DAP ini. Sekarang jelas sehingga UMNO sendiri dilihat ‘pening lalat’ dengan sikap DAP ini walaupun pemimpin utama mereka masih memuji.

PEMIMPIN PELAPIS
Adakah Pas mempunyai generasi pemimpin pelapis bagi mengganti pemimpin sedia ada, boleh ustaz namakan?



Pas mempunyai ramai pemimpin pelapis daripada Pemuda, Muslimat dan sebagainya dan daripada zaman dahulu hingga sekarang kita tidak ketandusan pemimpin untuk ditonjolkan pada masa depan.
Pas tidak pernah putus dalam kepemimpinan malah nanti jika barisan tertinggi sudah tidak ada, masih terlalu banyak pemimpin layak mengetuai parti itu. Masa akan tentukan semua ini.

AHLI PARLIMEN BERSATU SOKONG ANWAR
Apa nasihat dan pandangan ustaz terhadap Bersatu apabila ramai ahli Parlimennya mengambil pendekatan menyokong Perdana Menteri?

Dalam soal mengambil tindakan terhadap enam ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri itu terserah kepada parti tersebut.

Nasihat saya, Bersatu perlu mengikut jejak dan langkah Pas mula dengan tarbiah awal bukan selepas sudah menjadi calon. Selain itu, perkenalkan baiah kepada calon. Baiah bukan Pas reka namun Nabi juga buat dahulu. Hal demikian akan menjadi daripada isu lompat parti ini.

BOLEH MENANG PRU-16
Mampukah Pas dan PN terus mendominasi pada PRU-16 nanti?

Insya-Allah hasil daripada pertolongan Allah SWT kita mampu. Allah SWT membantu kita dan kita lihat bagaimana undi 18 bukan kita buat program apapun namun dengan bantuan Allah SWT membuka hati mereka memberi sokongan kepada Pas.

Kenapa Pas terus dapat sokongan golongan muda?

Orang muda tertarik dengan Pas selepas melihat imej parti ini yang bersih berbanding parti-parti lain sekali gus memberi mereka pilihan untuk memilih Pas. Pas dengan imej bersih berjaya menarik sokongan orang muda. Sokongan itu dijangka akan berterusan, Insya-Allah.

UNDANG-UNDANG SYARIAH
Mengenai isu undang-undang syariah yang berlaku di Kelantan baru-baru ini, adakah ia mencetuskan kebimbangan Pas dalam mengukuhkan syiar Islam?

Yang dibatalkan 16 enakmen jenayah syariah yang soal seperti arak, judi dan sebagainya sepatutnya dilaksanakan seperti dalam enakmen jenayah di Kelantan itu.
Kalau tidak sah daripada segi undang-undang, kita kena usaha lagi untuk memperkasa mahkamah syariah ini dengan usaha dijalankan bagi memperbaiki supaya tidak mengganggu pelaksanaan hukum Islam ini.

Melihat kepada situasi semasa, siapakah calon Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) yang ustaz rasa sesuai?

Kita tidak halang hendak tonjolkan siapa sebagai calon Perdana Menteri yang terbaik dan menerima sokongan masyarakat dan Allah SWT akan tentukan bagi membantu membawa ke arah kebaikan. Sehingga sekarang yang tonjolkan calon Perdana Menteri dari Pas contohnya

Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, bukan Pas.
Kebiasaan di Malaysia calon Perdana Menteri ditonjol bagi membolehkan rakyat menilai. Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri, saya cukup tertarik dalam ucapannya sebelum ini iaitu menjadi pemimpin bukan sekadar tanggungjawab kepada rakyat tetapi dengan Allah SWT. Pegangan seperti ini sesuai menjadi pemimpin. – Mingguan Malaysia

Ulasan