Usah terlalu promosi kepelbagaian



Usah terlalu promosi kepelbagaian

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
29 Mac 2024, 8:15 am

PUTRAJAYA: Tindakan pihak tertentu yang dilihat semakin berani menyentuh isu kaum, agama dan institusi diraja (3R) berpunca daripada polisi kerajaan yang terlalu mempromosi aspek kepelbagaian dalam negara sehingga pemupukan identiti bangsa Malaysia itu dipandang remeh.

Kepelbagaian itu sepatutnya diterima setakat untuk menguruskan julat perbezaan yang boleh diberi tolak ansur demi mengukuhkan identiti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar perlembagaan ISTAC Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, malangnya, apa yang berlaku seolah-olah kepelbagaian itu disuburkan dalam semua aspek sehingga beransur-ansur menenggelamkan nilai dan budaya tempatan.

Menurutnya, apa yang tersurat dalam Perlembagaan sepatutnya menjadi prinsip undang-undang yang perlu terus dihormati dan disebar luas kerana kesemuanya itu menjunjung kedaulatan undang-undang.

Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Perpaduan perlu bertindak segera untuk mengelak pengembangan doktrin yang menentang elemen 3R daripada berleluasa kerana kesannya boleh menghancurkan masa depan negara seperti berlaku di negara luar sehingga nilai agama sudah dianggap songsang.

“Kita terlampau memberi kebebasan atas nama hak asasi untuk beragama tetapi yang diperjuangkan oleh kumpulan tertentu adakalanya begitu jelas bercanggah nilai semua agama. Identiti yang ditetapkan contohnya kepercayaan kepada Tuhan dalam Rukun Negara sepatutnya menjadi asas pegangan semua warganegara Malaysia.


“Begitu juga aspek kesopanan dan kesusilaan tidak difokuskan, tetapi apa yang berlaku ada antara warga Malaysia mahu mengamalkan gaya hidup sendiri dan berpakaian bebas yang melampaui batas kesopanan dan kesusilaan,” katanya di sini semalam.

Wan Ahmad Fauzi berkata, setiap warganegara mesti mendukung prinsip kedaulatan negara yang menterjemahkan Islam sebagai agama Persekutuan, maka undang-undang yang mematuhi prinsip syariah dan adat tempatan mesti diterima kerana kedudukan itu tidak pernah menafikan amalan pelbagai agama malah lebih dekat dengan nilai tempatan.

Apatah lagi, katanya, ada sesetengah pihak pula terlalu fanatik untuk membawa masuk doktrin asing dan Konvensyen Antarabangsa yang adakalanya tidak sesuai dengan adat tempatan malah undang-undang negara kita sendiri.

Ulasan