Belum terlambat ketahui 7 amalan terbaik sahur





Belum terlambat ketahui 7 amalan terbaik sahur
April 1, 2024

Share
Rosni Adam muncul dalam program Tazkirah Ramadan anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH) di Kuala Lumpur pada hari ini, 1 April 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)

KUALA LUMPUR: Sahur merupakan salah satu ibadah sepanjang Ramadan yang terdapat keberkatan dalam bulan ini. Namun dalam 10 hari terakhir Ramadan, masih belum terlambat untuk mengetahui mengenai tujuh amalan terbaik ketika bersahur dan tiga keberkatan sahur.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah ayat 183).

Ibadah sahur dalam bulan Ramdan tidak boleh diambil ringan kerana keberkatan sahur ini dapat membezakan sahur orang Islam dan sahur orang bukan Islam.

Daripada Amru bin al-‘As r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perbezaan di antara puasa umat Islam dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu ialah dengan makan sahur.” (Hadis riwayat Muslim).

Menampilkan topik sahur, Ketua Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan (LKK) PAS Pusat, Dr Rosni Adam membuat kemunculan dalam program Tazkirah Zohor Ramadan anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH) yang diadakan langsung dari pejabat Harakah di sini, pada hari ini, yang juga boleh diikuti melalui Facebook HarakahDaily dan Facebook TV PAS.

Menurut beliau, keberkatan sahur akan memeriahkan awal berpuasa dan mengikat silaturrahim sesama seisi keluarga. Kemesraan itulah yang mewarisi kemeriahan zaman Nabi Muhammad SAW.

“Ada tiga aspek keberkatan sahur. Pertama daripada sudut jasmani iaitu yang berkaitan dengan kesihatan; yang kedua daripada sudut rohani yang menggalakkan umat Islam untuk bengun malam dan beribadah kepada Allah SWT.

“Yang ketiga ialah daripada sudut kesejahteraan yang membawa manusia lebih bersabar, sentiasa berdoa dan meningkatkan taqwa kepada Allah SWT,” kongsi beliau.

Memetik penulisan hasil kajian seorang wartawan antarabangsa, Muhd Zafar, ujar beliau, sebaik-baik makanan yang perlu diamalkan semasa bersahur adalah pertamanya, minum air masak atau mineral secukupnya.

“Kedua, amalkan makan sayur-sayuran atau buah-buahan. Seelok-eloknya didahulukan makan sayur sebelum memakan makanan yang berat kerana sayur yang dicernakan dahulu akan mengimbangkan karbohidrat.

“Ketiga; elakkan amalan pengambilan gula putih; yang keempat, kurangkan amalan pengambilan makanan yang berminyak dan berempah kerana akan mudah mengalami masalah penghadaman. Kelima pula, kurangkan amalan minuman berkafein.

Tambah beliau, keenam adalah digalakkan amalan memberus gigi selepas makan, selain digalakkan untuk membuat rawatan pembersihan gigi sebelum Ramadan agar bau yang keluar dari mulut adalah secara aslinya adalah bau mulut orang yang berpuasa.

“Ketujuh, amalkan senaman ringan dan adakan rutin senaman sepanjang puasa dan yang terakhir adalah tidur dan rehat secukupnya agar sentiasa segar melakukan amal ibadah sepanjang bulan Ramadan,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/4/2024

Ulasan