Had laju jalan persekutuan turun dari 90kmj kepada 80kmj


Had laju jalan persekutuan turun dari 90kmj kepada 80kmj
GAMBAR HIASAN- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Oleh MASZUREEN HADZMAN
2 April 2024, 6:33 pm

PETALING JAYA: Had kelajuan di Jalan Persekutuan seluruh negara diturunkan daripada 90 kilometer sejam (km/j) kepada 80 km/j bermula 8 sehingga 14 April depan sempena perayaan Aidilfitri.

Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan, pengurangan sementara had kelajuan itu merupakan antara langkah keselamatan dan pemantauan diambil kerajaan sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

Menurutnya, ia antara lain bagi meningkatkan keselamatan dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya berdasarkan data sejarah kemalangan jalan raya semasa musim perayaan.

Pada tempoh sama, KKR turut menjalankan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya bersempena Aidilfitri ini.

“KKR juga telah memaklumkan kepada pihak konsesi jalan persekutuan untuk menghentikan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan yang tidak kritikal mulai 5 hingga 14 April supaya tidak mengganggu aliran trafik kecuali bagi kerja-kerja menampal lubang, kecemasan dan kritikal serta kerja pembinaan di luar rizab jalan.

“Bagi lebuh raya pula, syarikat konsesi tidak dibenarkan melaksanakan sebarang penutupan lorong lebuh raya kecuali bagi kes kecemasan bermula 1 hingga 17 April ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut KKR, langkah tersebut sejajar dengan semangat dan aspirasi Program MyJalan yang dilancarkan pihaknya serta pendekatan seluruh rakyat dan negara.

“Semua pihak termasuk rakyat bersama-sama bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pemanduan diutamakan terutama di jalan persekutuan,” katanya. –UTUSAN

Ulasan