Pastikan projek empangan tidak gugat Orang Asli





Pastikan projek empangan tidak gugat Orang Asli
April 1, 2024

KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air digesa menilai semula jenis pampasan dan elaun-elaun yang masih agak kecil serta jaminan hak masyarakat Orang Asli di mana terkesan dengan projek empangan hidro elektrik di Negeri Kelantan.

Senator Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, ini bagi menghargai pengorbanan Orang Asli demi kemajuan negara termasuk juga untuk memastikan kelangsungan projek tanpa meninggalkan rasa tidak puas hati yang ketara khususnya di Negeri Kelantan.

“Isu utama projek empangan hidro elektrik negeri ini adalah penempatan semula masyarakat Orang Asli yang melibatkan 3,000 orang. Baru-baru ini bulan lepas komuniti Orang Asli telah berhimpun sekali lagi dan membuat bantahan terhadap projek ini walaupun kita sedar telah ada penyelesaian sebelum ini yang telah dicapai oleh kedua-dua pihak,” ujar beliau.

Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Timbalan Menteri Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dalam jawapannya memberitahu, bahawa perbincangan atau rundingan telah berlangsung sejak tahun 2014.

Ujarnya, rundingan yang telah dibuat menghampiri 30 kali berdasarkan rekod, dan terdapat tiga tempat terkesan secara langsung dengan projek ini ialah Pos Tohoi, Pos Pulat dan Kampung Kuala Wias.

“Jadi sebab itu untuk menguruskan projek ini sememangnya di peringkat kementerian ataupun di peringkat Persekutuan ini, kami ataupun pihak kerajaan lebih mengambil pendekatan untuk memudah cara.

“Sebab akhirnya perbincangan itu dalam isu soal tanah itu melibatkan kerajaan negeri, itu dah ada perjanjian antara pihak TNB (Tenaga Nasional Berhad) dan kerajaan negeri.

“Sementara pihak TNB juga mengambil inisiatif untuk berunding dengan pihak penduduk Orang Asli itu bagi membantu mengurangkan sebarang perubahan atau pun gangguan kepada gaya hidup mereka.

“Maka sebab itu butiran itu kita tengah ‘finalize’kan (memuktamadkan) dan dijangka pertengahan tahun ini akan ada perjanjianlah,” jawab beliau.

Tambahnya, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mengharapkan daripada pihak wakil rakyat dan pihak berpengaruh di sana untuk membantu merungkaikan permasalahan ini supaya akhirnya pihak yang sewajarnya dibela itu terbela kebajikannya.

Ustaz Nik Mohamad Abduh dalam soalan asal meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan status Projek Empangan Nenggiri dan jaminan kerajaan pembinaan empangan itu tidak menimbulkan ancaman serta masalah khususnya kepada masyarakat Orang Asli. – HARAKAHDAILY 1/4/2024

Ulasan