Pemimpin perlu semai budaya perpaduan bukan sebar kebencian




Pemimpin perlu semai budaya perpaduan bukan sebar kebencian
Oleh Prof Madya Dr Nisar Mohammad Ahmad - April 2, 2024 @ 12:20pm
Kita digemparkan dengan sebuah lagi premis perniagaan milik KK Mart dilempar dengan bom petrol, iaitu cawangan Sungai Isap, Kuantan. Meskipun identiti pelaku masih belum dikenal pasti, ia sudah pasti mempunyai kaitan dengan insiden stokin tertera kalimah Allah.

Nampaknya 'api kemarahan' dalam sesetengah anggota masyarakat berkaitan isu stokin ini masih belum reda. Perasaan marah itu wajar kerana penghinaan dibuat membabitkan nama Allah, tetapi soalnya sejauh mana kewajaran tindak balas susulan perasaan marah berkenaan?

Jika pelakunya beragama Islam, adakah kemarahan atas nama agama membenarkan tindakan keganasan dilarang agama? Jika pelakunya bukan beragama Islam, adakah perbuatan berkenaan baik untuk masyarakat?

ADVERTISING


Tidak kira siapa dan apapun agama, kita perlu menerima hakikat tindakan bertentangan undang-undang seperti aktiviti keganasan bukanlah cara betul untuk mencapai matlamat baik dan suci.
DISYORKAN UNTUK ANDA










Namun, agak menyedihkan kerana dalam insiden stoking ini nampaknya, meskipun tindakan undang-undang sedang diambil pihak berkuasa, segelintir ahli masyarakat masih terkeliru terhadap reaksi dan tindak balas perlu diambil.

Ia diburukkan lagi dengan kemunculan pemimpin dan individu berpengaruh dalam masyarakat sama ada kelompok politik atau agama membuat ulasan dengan nada 'berapi-api' hingga memanaskan keadaan lagi.


Meskipun ucapan dan pandangan bersemangat itu tidak bermaksud menyuruh masyarakat melakukan tindakan keganasan, tetapi melalui tindak balas lain seperti boikot, ucapan sedemikian juga sebenarnya akan membuka ruang untuk ditafsirkan sebagai perbuatan keganasan oleh sesetengah pihak.

Guna pengaruh didik masyarakat

Sebagai golongan berpengaruh dalam masyarakat, pemimpin politik dan agama perlu memahami tidak semua orang mempunyai tahap pemikiran sama. Justeru, jika dimainkan dan diapi-apikan sentimen kaum dan agama, mereka akan mudah melakukan tindak balas di luar kawalan.

Apalagi jika berkait dengan kesucian agama, sudah tentu mereka akan sanggup lakukan apa sahaja.

Di sini sebenarnya letaknya kebijaksanaan dan peranan penting pemimpin masyarakat untuk memperbetulkan keadaan. Mereka perlu menggunakan pengaruh untuk memimpin dan mendidik masyarakat.

Pada masa sama, mereka tidak boleh bermain dengan emosi sehingga terdedah untuk mengambil tindakan sendiri, termasuk di luar batas undang-undang.

Kita wajar mengingati titah pesanan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mengingatkan bahawa kemarahan berlarutan tidak akan menguntungkan sesiapa hingga semua pihak, terutama pemimpin masyarakat perlu bertindak matang.

Baginda menyeru agar semua pemimpin masyarakat mengajak rakyat ke arah perpaduan, bukan perpecahan. Inilah peluang mendapat pemahaman lebih baik antara satu sama lain dalam masyarakat kita yang majmuk dan berbilang kaum agar ia tidak berulang lagi.

Ingatlah, apa yang kita tanam, itulah yang kita akan tuai. Jika kita tanam gandum, mana mungkin kita akan menuai padi. Begitulah juga, jika kita gemar menanam benih kebencian, mana mungkin kita akan mendapat anggota masyarakat yang hormat-menghormati dan cintakan kasih sayang, perpaduan serta keharmonian.

Pemimpin dan masyarakat perlu menyemai benih kasih sayang dan perasaan hormat-menghormati, manakala generasi muda pula dididik untuk menghargai kepelbagaian di negara ini.

Masyarakat juga diingatkan tidak menggunakan platform media sosial untuk mengadu domba dan menyebar kebencian. Kita tidak menafikan wujud kesilapan dan kekhilafan tertentu yang timbul dalam masyarakat tidak kira mana-mana kelompok, namun ia bukan tiket untuk menyemai kebencian kerana tindakan salah tidak mencerminkan semangat perpaduan.

Paling penting, semua mesti faham negara ada undang-undang. Jika berlaku apa-apa kejadian pelanggaran undang-undang, serahkan kepada pihak berkuasa dan jangan sekali-kali mengambil tindakan sendiri di luar batasan undang-undang.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Ulasan