Sumbangan terakhir Tuan Guru Ismail Ahmad

 


Sumbangan terakhir Tuan Guru Ismail Ahmad
April 29, 2024



KANGAR: Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat kelmarin menjadi saksi derma terakhir yang disumbangkan Pengasas Herba Penawar Al-Wahida (HPA), Allahyarham Tuan Guru Ismail Ahmad kepada PAS.


Setiausaha PAS Negeri, Wan Hassan Ismail berkata, Allahyarham menyumbangkan RM7,000 kepada majlis tersebut sebelum beliau meninggal dunia keesokannya.

“Allahyarham meninggal akibat jangkitan kuman dalam darah pada usia 63 tahun. Saya pernah bekerja bersama arwah semasa beliau memegang jawatan Ketua Pemuda PAS Negeri sekitar awal 90-an.

“Beliau dikenang sebagai seorang yang kuat menderma dan istiqamah dalam perjuangan selain antara individu pertama yang mengasaskan perubatan herba di Malaysia,” jelas beliau.

Katanya lagi, pengkebumian Tuan Guru Ismail menarik perhatian ribuan orang dari pelbagai peringkat masyarakat, menunjukkan pengaruh dan penghargaan terhadap Allahyarham.

“Saya rasa hampir 10,000 orang hadir memberi penghormatan terakhir kepada jenazah beliau di tempat pertama beliau mengasaskan produknya di Surau Kampung Changkat Lada, Mata Ayer,” ujarnya lagi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar semalam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Surau Kampung Changkat Lada, Mata Ayer, Arau.

“Beliau selalu pesan agar sentiasa ikhlas dan istiqamah dalam perjuangan. Beliau juga dikenali sebagai pemimpin yang rajin mengadakan usrah di pelbagai peringkat masyarakat.

“Pernah membantu membayar elaun staf Pejabat Perhubungan PAS Negeri dan sekolah di bawah pentadbiran PAS negeri selama dua tahun,” maklumnya lagi.

Selain sumbangan terhadap PAS, Tuan Guru Ismail juga antara individu awal yang mengasaskan perubatan herba melalui HPA Industries Sdn Bhd di mana telah menyumbang kepada perkembangan produk-produk kesihatan berdasarkan herba.

“Kehilangan Pengasas HPA itu pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat di Perlis khasnya, semoga segala amal baiknya diterima oleh Allah SWT dan dosa-dosanya diampuni,” kata Hassan lagi. – HARAKAHDAILY 29/4/2024

Ulasan