Cuaca panas: Hati-hati laksana aktiviti luar bilik darjah


Cuaca panas: Hati-hati laksana aktiviti luar bilik darjah
KELONGGARAN untuk memakai baju T kepada pelajar masih berlangsung ketika ini agar mereka lebih selesa sepanjang mengikuti pembelajaran di sekolah.
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
4 Mei 2024, 7:00 am

KUALA TERENGGANU: Semua pengurusan sekolah di negeri ini diingatkan agar lebih berhati-hati dengan sebarang aktiviti ingin dilaksanakan berikutan cuaca panas melampau antara 37 hingga 40 darjah Celsius yang melanda ketika ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, pengurusan sekolah termasuk di asrama perlu lebih peka dengan perubahan cuaca ekstrem ketika ini dengan tidak mengadakan sebarang aktiviti di luar kelas.

Menurutnya, kelonggaran untuk memakai baju T kepada pelajar masih berlangsung ketika ini agar mereka lebih selesa sepanjang mengikuti pembelajaran di sekolah.

“Begitu juga dengan pengurusan asrama di sekolah perlu mengelakkan sebarang aktiviti yang berisiko kepada pelajar.

“Etika pemakaian sepanjang berada di asrama juga boleh diberi kelonggaran sepanjang musim cuaca panas dan terik melanda bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Enam negeri dijangka terus dilanda cuaca panas antara 37 hingga 40 darjah Celsius secara berterusan bagi tempoh kira-kira tiga bulan lagi susulan peralihan Monsun Timur Laut dan fenomena El Nino yang sedang melanda dunia.


Enam negeri tersebut ialah Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Perlis dan Kedah.

Situasi itu menyebabkan seramai lima individu di Terengganu terdiri daripada dua anggota tentera, seorang pelajar sekolah, seorang pekerja Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan seorang warga emas dima­sukkan ke hospital akibat ter­kena strok haba dan kelesuan.

Mengulas lanjut, Jelani berkata, ibu bapa dan guru juga perlu mengingatkan pelajar agar sentiasa mengambil jumlah air yang mencukupi setiap hari bagi mengelak dehidrasi.

“Lumrah kanak-kanak serta remaja sentiasa aktif dan kita perlu kerap berpesan pada mereka agar tidak terdedah terlalu lama di luar bangunan terutama pada waktu puncak 11 pagi hingga 2 petang.

“Bagi pengurusan sekolah pula, JPNT telah meminta semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terus memantau sebarang aktiviti yang ingin diadakan agar tidak berisiko terhadap kesihatan murid sepanjang musim panas dan terik melanda Terengganu,” katanya. – UTUSAN

Ulasan