Cuaca panas: Sekolah ditutup jika perlu


Cuaca panas: Sekolah ditutup jika perlu
MURID-murid Sekolah Kebangsaan Jalan Empat Bandar Baru Bangi melakukan aktiviti kokurikulum di kawasan berbumbung berikutan cuaca panas, baru-baru ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Oleh MOHD HUSNI MOHD NOOR
4 Mei 2024, 7:55 am

PUTRAJAYA: Sekolah akan ditutup jika terdapat keperluan, susulan cuaca panas yang melanda beberapa negeri ketika ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzul­kefly Ahmad berkata, Ketua Pengarah Ke­sihatan, Datuk Seri Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan akan membuat segala penelitian sebelum penutupan sekolah dilaksa­na­kan.

Malah katanya, pihak kementerian akan memantau rapi perkembangan tersebut dan membuat pengumuman segera mengenainya.

“Jangan khuatir sejurus ada situasi seperti itu, (Kementerian Kesihatan (KKM) segera buat pengumuman. Kami memantau rapi perkara itu,” katanya ditemui selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya keperluan menutup sekolah ekoran cuaca panas khususnya di negeri Pantai Timur.

Dr. Dzulkefly memberitahu, ketika ini, pihaknya menerima lima kes berkaitan strok haba dan kelesuan haba di seluruh negara.


Menurutnya, segala prosedur operasi standard (SOP) sedia ada digerakkan termasuk mengurangkan aktiviti luar di sekolah.

“Kami turut mengesa Kementerian Pendidikan (KPM) supaya mengurangkan aktiviti luar bagi pelajar sekiranya suhu kekal 35 darjah Celsius tiga hari berturut-turut sebagai langkah pencegahan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr. Dzulkefly berkata, KKM memandang serius isu kekura­ngan Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) di hospital daerah dan usaha untuk mengatasinya akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Malam ini (ada) mesyuarat tergempar dengan pengurusan tinggi KKM untuk tangani isu ini. Sehari dua nanti akan umum rancangan pelaksa­naan,” katanya.

Pada 26 April lalu, Dr. Dzulkefly dilaporkan mengarahkan pengurusan KKM di peringkat Pusat dan negeri untuk meneliti isu bebanan tugas di hospital serta penilaian semula tindakan yang dibuat membabitkan penempatan dan cara kerja PPS.

Katanya, negara pernah melalui fasa lambakan graduan perubatan antara 6,000 hingga 7,000 setahun, namun kini kurang 3,000 setahun menyebabkan jumlah PPS di hospital semakin berkurang.

Terdahulu, pada majlis itu, Dr Dzulkefly melancarkan Pelan Strategik Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) 2024-2028 dalam mentransformasikan agensi itu ke arah operasi regulatori bertaraf antarabangsa.

Jelasnya, pelan itu mencerminkan keazaman MDA untuk berada di barisan hadapan bagi kawalan mutu, jaminan keselamatan dan kawal selia industri khususnya di negara.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, Malaysia dijangka terus berdepan cuaca panas sehingga Julai ini susulan peralihan Monsun Timur Laut dan fenomena El Nino yang sedang melanda dunia ketika ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, situasi itu menyaksikan beberapa kawasan terutama Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah akan berdepan dengan cuaca panas tersebut.

Neger-negeri tersebut dilaporkan dilanda cuaca panas antara 37 hingga 40 darjah Celsius. Selain Malaysia, beberapa negara di Asia Tenggara dan Asia Selatan turut menghadapi cuaca panas ekstrem dengan suhu mencecah 40 hingga 45 darjah Celsius. – UTUSAN

Ulasan