DAP ‘tunggang’ siapa sahaja demi agenda politik


DAP ‘tunggang’ siapa sahaja demi agenda politik
May 10, 2024


HULU SELANGOR: DAP hanya mementingkan agenda politik parti itu dan akan ‘menunggang’ sesiapa sahaja parti rakan yang bersamanya, demikian kata Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

PRK N.06 DUN Kuala Kubu Bharu (KKB) menurutnya, ditandingi oleh DAP, tetapi dalam kempen menggunakan label sebagai ‘Calon Perpaduan’ dan bukannya ‘calon DAP’ kerana bimbang orang sudah meluat mendengar DAP.

Sedangkan ramai orang katanya, tahu bahawa calon itu adalah Setiausaha Akhbar kepada Menteri DAP, malah Umno yang dinyatakan perlu mengenang budi DAP, seolah-olah diberi amaran untuk tidak meletakkan calon dan mesti memberi undi kepada DAP.

“Kami di BERSATU dulu pernah ada pengalaman bersama dengan DAP dalam Pakatan Harapan (PH). Saya pun duk kajilah perangai DAP ni. Kalau tengok sejarahnya, apa DAP tak kata kepada Umno?

“Umno ni pada pandangan DAP cukup hina. Apa dia tak kata pada pemimpin Umno? Apa DAP tak kata pada Datuk Seri Najib? Apa DAP tak kata pada Zahid Hamidi? Macam-macam dia kata. Tapi DAP ni kerjanya ‘menunggang’.

“DAP pernah tunggang kami, BERSATU. Dato’ Seri Peja (Ahmad Faizal Azumu) pernah cerita bagaimana dia tunggang BERSATU, bagaimana susahnya memerintah di negeri Perak bersama DAP.

“Semua yang berpengalaman dengan DAP ni tahu bahawa DAP ni penunggang. Penyokong-penyokong DAP di luar sana sedarlah, anda sedang ditunggang,” ujar beliau ketika Ceramah PERIKATAN NASIONAL (PN) di Batang Kali, di sini kelmarin.

Ahli Parlimen Putrajaya itu turut mengimbas kononnya perjuangan DAP untuk menutup Lynas di Kuantan yang didakwa berbahaya kerana ada radioaktif, tetapi selepas menjadi kerajaan tidak melakukan sebarang tindakan.

Begitu juga katanya, parti itu memperjuangkan nasib mendiang Teoh Beng Hock dahulunya, tetapi apabila aktivis pembela mendiang hadir ke KKB dan diambil tindakan, DAP senyap tidak bersuara.

“Apa DAP tak kata pada MCA? Macam-macam. (Dato’ Seri) Wee Ka Siong bangkit, kata Aku tak kira, aku takkan tolong DAP di KKB. Kenapa DAP dia boleh kata kepada MCA tapi dia tak kata pada MIC. Kerana apa?

“Kerana dia nak tunggang MIC untuk mendapat undi masyarakat India. MCA dia tak boleh tunggang dah. Dia tahu bahawa masyarakat Cina bersama dengan mereka. Tak pandang pada MCA.

“Maka, siapa aku (DAP) nak tunggang nak bagi menang di KKB. Kuda paling baik adalah MIC. Maka ditungganglah MIC pula. Inilah sejarah DAP,” bidas beliau, termasuk terhadap kononnya beberapa prinsip diperjuangkan parti cauvinis itu.

Antaranya kata Dr Radzi, mengenai kebebasan akhbar dan kini memperlihatkan DAP bukanlah sebuah parti berprinsip, malah ramai penyokong mulai meninggalkan parti tersebut.

Menurut beliau lagi, DAP akan menunggang sesiapa sahaja yang menguntungkan mereka, bahkan calon dipertandingkan DAP di KKB juga bukanlah anak tempatan, tetapi dihantar ke situ untuk memenuhi agenda politik DAP. – HARAKAHDAILY 10/5/2024

Ulasan