Dhobi Ghat masih ‘bernyawa’




Dhobi Ghat masih ‘bernyawa’
SEORANG pekerja dobi tradisional membersihkan pakaian dengan cara mengosok dan memukulnya di atas batu di Dhobi Ghat yang terletak antara Jalan Air Hitam dan Jalan York, George Town, Pulau Pinang. - MINGGUAN/IQBAL HAMDAN
Oleh ISWAN SHAFIQ ISA
12 Mei 2024, 8:01 am

GEORGE TOWN: Aktiviti mendobi pakaian di tempat terbuka bukan sesuatu yang pelik atau asing terutama di pinggir-pinggir sungai utama di Mumbai, ibu negeri Maharashtra di India.

Ekoran aktiviti tersebut, Mumbai atau dahulunya dikenali sebagai Bombay menjadi terkenal khususnya dalam kalangan pelancong asing.


Filem Dhobi Ghat atau Mumbai Diaries yang dibintangi superstar Bollywood, Aamir Khan 14 tahun lalu kemudian me­ngangkat dan mempopularkan aktiviti itu yang dianggap klasik oleh masyarakat moden dewasa ini.

Ghat secara umumnya merujuk kepada anak tangga yang dibina di tepi sungai di India manakala Dhobi Ghat pula boleh dirujuk sebagai perbuatan mendobi atau mencuci pakaian di ghat.MENCUCI pakaian pelanggan secara tradisional dilakukan secara manual dan banyak menggunakan kudrat.

Budaya mendobi pakaian secara terbuka ini juga telah bertapak di Malaysia sejak lebih satu abad lalu susulan penghijrahan penduduk negara itu ke Tanah Melayu.

Lokasi utama yang terlibat dengan aktiviti tersebut ialah perkampungan dobi tradisional di Perak dan Pulau Pinang.


Namun peredaran masa me­nyaksikan Dhobi Ghat di Pulau Pinang yang terletak antara Jalan Air Hitam dan Jalan York di George Town boleh dianggap sebagai satu-satunya perkampungan tersebut yang masih ‘bernyawa’ ketika ini.

Apa tidaknya, satu demi satu pengusaha dobi tradisional ‘gulung tikar’ dek kerana kurang­nya permintaan terhadap aktiviti itu selain rata-rata pe­ngusahanya tidak lagi mempu­nyai kudrat untuk terus bertahan.

Tinjauan Mingguan Malaysia ke lokasi itu baru-baru ini menceritakan segala-galanya.

Tanpa terlalu bergantung kepada teknologi moden ke­cuali penggunaan beberapa buah mesin basuh separa automatik yang agak usang, beberapa pekerja dilihat gigih mendobi pakaian yang dihantar kepada mereka secara manual.

Difahamkan, mesin basuh tersebut hanya digunakan sebagai alternatif untuk menge­ringkan sesetengah pakaian yang tidak sempat dijemur lantaran cuaca yang tidak menentu.

Selain itu, rata-rata proses cucian dilakukan secara tradi­sional atau dalam erti kata lain, menggunakan sepenuhnya kudrat manusia.PAKAIAN direndam dalam air sabun yang dicampur dengan larutan kimia khas sebelum ‘direbus’ untuk menghapuskan bakteria serta menghilangkan kotoran.

Bermula dengan mengasingkan pakaian mengikut warna dan jenis kain, pakaian ber­kenaan kemudian direndam dalam air sabun yang dicampur dengan larutan kimia khas.

Seterusnya, kerja-kerja mendobi pakaian diambil alih oleh tukang cuci atau dikenali sebagai ‘dhobis’ dan mereka memukul pakaian ini di atas batu khas sama seperti perbuatan menampi padi.

Selepas selesai, kerja-kerja mengeringkan pakaian dilakukan termasuk menjemurnya di ampaian sebelum dilipat dan diseterika dengan menggunakan seterika klasik yang agak berat.

BERTAHAN DEMI MINAT

Sebagai antara pengusaha Dhobi Ghat yang masih aktif di Pulau Pinang, A. Raman, 61, tidak lokek berkongsi cerita mengenai aktiviti yang dimulakan oleh mendiang datuknya, kira-kira 100 tahun lalu.

Kata bapa kepada tiga cahaya mata itu, dia masih mampu bertahan dengan kerjaya itu hanya disebabkan minatnya.



“Di kawasan ini, saya antara yang aktif. Dulu ada ramai pekerja. Sekarang tinggal seorang sahaja pembantu. Yang lain hanya sambilan. Itu pun jika ada banyak kerja kena buat.

“Di hujung jalan sana ada juga ‘dhobis’ wanita tetapi dia sudah tidak aktif. Mungkin tidak larat kerana sudah tua,” katanya sambil tersenyum.

Cerita Raman, meskipun permintaan terhadap perkhidmatan dobi tradisional itu tidak semeriah dahulu, dia tetap bersyukur kerana masih mempu­nyai pelanggan tetap.

A.RAMAN menjemur pakaian pelanggan yang siap dicuci secara tradisional di Dhobi Ghat.

Katanya, ramai dalam kalangan pelanggan terutama masyarakat India yang tinggal di sekitar kawasan itu memilih untuk menghantar pakaian mereka seperti sari, sut punjabi dan dhotis untuk dicuci secara tradisional kerana bimbang ia rosak jika menggunakan cucian moden.

“Biasanya, harga dicaj mengikut helaian pakaian tersebut kerana setiap pakaian melalui proses sama iaitu diasing, rendam, cuci, jemur dan diseterika.

“Harga tak tentu tetapi bergantung kepada kualiti atau jenis kain yang dibasuh. Lagi mahal kain tersebut, lagi tinggi harga yang boleh dikenakan.

“Bagaimanapun, pendapatan kami sebenarnya tidak menentu. Secara purata cuma boleh dapat antara RM20 hingga ke RM100 dalam sehari. Kadang­kala tak dapat langsung kerana proses cucian adakalanya mengambil masa yang lama iaitu sehingga satu minggu (untuk siap),” ujarnya.SETERIKA lama yang digunakan pengusaha perkhidmatan dobi tradisional di Dhobi Ghat, George Town.

Menurut Raman, sukar untuk meyakinkan generasi muda menceburkan diri sebagai pengusaha dobi tradisional kerana pekerjaan tersebut memerlukan tenaga yang banyak manakala upah yang diterima mungkin tidak setimpal.

“Anak-anak saya sendiri semua tidak berminat mengikut jejak mengusahakan dobi ini tetapi saya faham.

“Saya pun masih bertahan kerana minat yang mendalam terhadap pekerjaan ini selain mahu meneruskan tradisi yang ditinggalkan oleh datuk serta bapa saya,” katanya.

Jelas Raman, dia mungkin akan berpindah ke lokasi lain hujung tahun ini kerana pemilik tanah tempat mereka tinggal sekarang mahu mengambil tanah tersebut semula.

“Saya sudah jumpa lokasi baharu untuk meneruskan bisnes ini. Mungkin di Butterworth atau Seberang Jaya kerana permintaan untuk Dhobi Ghat di sana juga tinggi,” katanya yang berhasrat untuk meneruskan perusahaan tersebut selagi terdaya.

GEMBIRA WALAUPUN UPAH SEDIKIT

Bagi A. Kannapathy, 61, dia ‘mengabdikan’ diri sebagai seorang ‘dhobis’ kerana gembira dengan pekerjaan itu.

Dia berpandangan, apabila seseorang itu melakukan sesuatu perkara dengan hati gembira, semua yang susah menjadi se­nang.

“Saya juga sudah tua dan kurang sihat, jadi sukar mendapatkan pekerjaan lain. Lagipun, saya sudah biasa dengan kehidupan di Dhobi Ghat ini. Sebaik sahaja bangun tidur, inilah tempat pertama yang saya tuju,” katanya yang juga merupakan rakan baik kepada Raman.PAKAIAN pelanggan diasingkan mengikut jenis material sebelum dicuci.

Sementara itu, seorang pekerja sambilan, Thaiveegan, 49, berkata, dia hanya ke Dhobi Ghat itu dua kali dalam se­minggu atau hanya ketika diperlukan.

“Kerja tidak susah. Saya pernah buat kerja lagi berat daripada ini,” kata lelaki bertubuh kecil itu.

PELANGGAN PUAS HATI

G. Arunasamy, 50, merupakan salah seorang pelanggan yang sering menggunakan perkhidmatan Dhobi Ghat di sini.

Pengusaha restoran itu memberitahu, salah satu sebab utama mengapa dia memilih menggunakan perkhidmatan dobi cucian tradisional itu kerana pakaian yang dicuci tahan lebih lama berbanding cucian moden.

“Semasa kecil, saya juga se­ring mengikut bapa ke sini dan melihat apa yang mereka (pe­ngusaha Dhobi Ghat) lakukan.

“Jadi, saya lebih yakin de­ngan mereka walaupun kadangkala proses cucian itu mengambil masa yang lama untuk disiapkan,” katanya.

Pendapat sama dikongsi seorang lagi pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Raja, 45.

Menurut Raja, dia sendiri pernah ke India dan menyaksikan aktiviti mendobi pakaian secara terbuka itu di daerah Dhobi Ghat di sana iaitu di Mahalakshmi Dhobi Ghat.

“Memang berbeza tapi kaedahnya hampir sama. Saya harap Dhobi Ghat di Pulau Pinang ini ditambah baik untuk dijadikan satu lagi tarikan pelancong ke negeri ini.

“Bukan senang untuk melihat kaedah mendobi pakaian secara tradisional pada zaman moden ini,” katanya. – UTUSAN

Ulasan