Harga ayam naik 3 kali selepas Aidilfitri
May 16, 2024
KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan menamatkan subsidi dan kawalan harga ayam yang berkuat kuasa 1 November tahun lalu menyebabkan pelbagai reaksi rakyat dalam kalangan pengeluar, pemborong, peniaga serta pengguna.
Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor dalam perkongsian di media sosial miliknya hari ini berkata, “Menjadi kebiasaan setiap pagi untuk saya ke pasar untuk membeli ikan atau ayam bagi kegunaan harian.
“Saya lebih selesa di awal pagi kerana tidak ramai lagi pelanggan dan ini memberi ruang untuk saya bertanya kabar serta mendengar keluhan para peniaga di kedai yang saya singgah.
“Pagi ini saya bertanya tentang harga ayam yang mereka terima dari pembekal.
“Jawab mereka yang hari ini harga tolak yang mereka terima adalah RM 9.30 sekilo, jadi mereka bertanya saya tentang berapakah harga mereka hendak jual?
“Selepas Aidilfitri ini sudah tiga kali harga ayam naik.
“Mereka juga bertanya tentang kenapa harga yang ditolak kepada pasar raya berbeza dengan harga yang diterima oleh peniaga di pasar-pasar.
“Mungkin pasar raya mengambil dengan kuantiti yang besar dan sebagainya.”
Justeru Wan Razali menyarankan kepada pihak kerajaan agar selain memantau harga yang dijual oleh peniaga kepada pembeli, pemantauan harga dari penternak kepada pemborong dan pemborong kepada peniaga juga perlu dilakukan.
“Ia adalah bagi membolehkan semua pihak mendapat hak masing-masing dalam urusan jual beli serta membantu rakyat mendapatkn bekalan makanan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/5/2024
Ulasan
Catat Ulasan