Isu kasino: Hantar surat bantahan kepada Bloomberg



Isu kasino: Hantar surat bantahan kepada Bloomberg
HASSAN ABDUL KARIM
Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
3 Mei 2024, 8:30 am

JOHOR BAHRU: Jabatan Perdana Menteri perlu menulis surat bantahan rasmi terhadap portal berita Bloomberg berkenaan laporan mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berunding untuk mengeluarkan lesen perjudian dan membuka pusat kasino di Forest City, Iskandar Puteri.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, tindakan itu perlu dibuat bagi membersihkan nama Perdana Menteri kerana laporan tersebut tidak benar.

Menurut beliau, lebih teruk lagi laporan itu juga secara tidak langsung telah memfitnah Sultan Johor merangkap Yang di-Pertuan Agong sekarang kerana Seri Paduka adalah antara pemegang saham projek Forest City.

“Adakah Bloomberg mempunyai niat jahat untuk memburuk-burukkan nama baik Sultan Johor selaku Ketua Agama Islam di ne­geri ini?

“Apakah Bloomberg tidak nampak bahawa laporan palsu mereka itu telah mempersendakan Sultan Johor yang juga Yang di-Pertuan Agong dan juga Malaysia yang mengangkat agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Tambah Hassan, Anwar perlu mengambil langkah proaktif de­ngan menutup sebarang dakwaan sedemikian bagi menghentikan segala fitnah yang diterima kerajaan perpaduan ketika ini.

“Pada masa sama, kerajaan tidak perlu menyiasat tiga penulis laporan itu disiasat di bawah Akta Hasutan ataupun di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana mereka bukan warganegara Malaysia serta tinggal di luar negara.

“Begitu juga Bloomberg beroperasi di luar bidang kuasa Malaysia. Saya juga tidak mengesyorkan supaya Bloomberg dan tiga penulis itu disaman kerana memfitnah Anwar sebaliknya perlu menulis surat bantahan kepada mereka,” jelasnya.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan telah menafikan laporan portal berita antara itu dan memaklumkan kerajaan tidak mempunyai sebarang perancangan bagi membuka kasino di Forest City.

“Tidak benar, tidak benar. Le­sen kasino itu satu pembohongan,” jelasnya. – UTUSAN

Ulasan