Jangan hilang kuasa politik seperti di Singapura


Jangan hilang kuasa politik seperti di Singapura

Presiden PAS ingatkan orang Melayu wajah sebenar DAP
May 10, 2024

HULU SELANGOR: Orang Umno di Selangor diingatkan agar tidak mengulangi nasib parti itu yang akhirnya kehilangan kuasa politik di Singapura suatu masa dahulu, demikian nasihat Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurut beliau, DAP yang lahir dari PAP di Singapura adalah parti yang ekstrem dan melampau di mana mahu merampas kuasa politik secara halus dan licik di mana boleh menyebabkan kekacauan di dalam negara.

Ahli Parlimen Marang itu mengimbau sejarah di mana parti-parti politik sebelum Merdeka iaitu PAS, Umno, MCA dan MIC boleh berunding untuk menetapkan beberapa perkara penting dalam penubuhan Malaysia.

“Dalam perundingan itu kita (PAS) mendesak berdasarkan kepada suasana politik di Malaysia, supaya diletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan. Dalam masa yang agama-agama lain diberi hak kebebasan.

“Hak bumiputera, hak Melayu, Bahasa Melayu bahasa kebangsaan, ini dalam Perlembagaan. Diberi kerakyatan daripada kaum lain. Ada hak-hak politiknya. Ini termeterai dalam Perlembagaan.

“Bila mari DAP parti baru ni buat kacau. Parti DAP ini dilahirkan oleh parti PAP Singapura, parti Lee Kuan Yew. Pada masa, penubuhan Malaysia, Singapura masuk Malaysia. PAP tubuh cawangan di Malaysia.

“DAP mempunyai agenda untuk mendapat kuasa politik dengan cara yang halus dan licik,” ujarnya pada Ceramah Perdana PERIKATAN NASIONAL sempena PRK N.06 DUN Kuala Kubu Bharu di Batang Kali, di sini malam tadi.

Tuan Guru mendedahkan, dalam tahun 1950-an Ketua Menteri Singapura, Dato’ Hamid Jumat masih seorang Melayu dari Umno, tetapi apabila PAP ditubuhkan, parti itu meletakkan calon Melayu dalam kempen pilihan raya di negara itu.

Namun lama kelamaan katanya, melalui pendekatan politik yang dibuat oleh PAP itu, kuasa politik orang Melayu akhirnya hilang di Singapura dan kini langkah politik seumpama sedang dibuat DAP di negara ini.

“DAP mempunyai perancangan yang terang-terang membawa agenda Malaysian Malaysia. (Menjadikan) Tak ada rupa bangsa, semua bangsa Malaysia. Sedangkan bangsa-bangsa ni adalah ciptaan Allah SWT.

“Tak boleh nak hapus bangsa-bangsa ini. Allah Taala izin kita sayang pada bangsa kita, keluarga kita, kaum kita tapi tak boleh fanatik. DAP bawa satu pendekatan baru nak hapus rupa bangsa ini. Nak hapus tabii alam, kejadian Allah.

“Dia tak boleh buat. Akan timbul ketegangan. Islam adalah Agama Persekutuan. Dia usaha nak samakan Islam di Malaysia ini dengan agama lain. Bukan Agama Negara lagi. Itu timbulnya ICERD kita buat demonstrasi kita protes.

“(DAP) Ke arah nak hapuskan kuasa Islam. Ini perjuangan DAP,” ujar beliau mengingatkan bahana daripada parti cauvinis dan ultra kiasu itu. – HARAKAHDAILY 10/5/2024

Ulasan