Johor bakal perkenal dasar baharu kawal harga hartanah





Johor bakal perkenal dasar baharu kawal harga hartanah
ONN HAFIZ Ghazi menjawab soalan pada Sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri
Oleh MOHAMED FAIZAL HASHIM
12 Mei 2024, 2:37 pm

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri berhasrat memperkenalkan dasar baharu bagi menyekat lonjakan harga serta spekulasi hartanah susulan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, spekulasi hartanah yang berlaku itu menyebabkan harga tanah dan kediaman di beberapa kawasan, khususnya di Iskandar Puteri melonjak dan situasi ini perlu diperhalusi dan dikawal kerajaan.

Katanya, tindakan ini perlu diambil susulan masyarakat setempat menyuarakan kebimbangan termasuk pelabur luar yang mengeluh susulan spekulasi hartanah sudah berlaku ketika ini.

“Johor perlu dasar-dasar (baharu) untuk mengekang spekulasi harga hartanah meningkat berlaku. Kita tidak mahu harga hartanah naik dan akhirnya rakyat Johor tidak mampu (beli hartanah), mungkin ada premium-premium tertentu dapat diperkenalkan.

“Selain itu, kerajaan Johor juga akan berbincang dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi pembinaan lebih banyak rumah mampu milik dibina di kawasan JS-SEZ,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Pandak Ahmad (BN- Kota Iskandar) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Pandak bertanya mengenai jaminan Kerajaan Johor terhadap nasib rakyat tempatan termasuk nelayan tempatan dari segi keselamatan di perairan selain harga hartanah yang dijangka melonjak di kawasan Iskandar Puteri susulan pelaksanaan JS-SEZ.


Dalam pada itu, Onn Hafiz (BN-Machap) berkata, sebarang keputusan mahupun cadangan kerajaan negeri berkaitan dengan JS-SEZ perlulah meletakkan kepentingan rakyat sebagai prioriti.

“Mengenai keselamatan nelayan, baru-baru ini saya ada berjumpa dengan persatuan nelayan. Dalam perbincangan pelbagai inisiatif dan insentif sedang dan akan disalurkan kepada nelayan daripada kerajaan negeri termasuk daripada kerajaan Persekutuan.

“Dari segi keselamatan, perkara ini juga perlu dikemukakan dalam sesi dialog babit urus bersama kementerian terbabit. Ada 18 kementerian terbabit dalam perbincangan untuk memastikan perkara yang dibangkitkan semua pihak diambil kira,” katanya.

Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatan dari Singapura, Lee Hsien Loong, menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) JS-SEZ antara Malaysia dan Singapura. – UTUSAN

Ulasan