JS-SEZ: Johor sasar KDNK RM260 bilion, pendapatan isi rumah RM13,000 sebulan




JS-SEZ: Johor sasar KDNK RM260 bilion, pendapatan isi rumah RM13,000 sebulan
ONN HAFIZ Ghazi menjawab soalan dalam Sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Oleh MOHAMED FAIZAL HASHIM
12 Mei 2024, 1:27 pm

ISKANDAR PUTERI: Penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka dapat melonjakkan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri telah menggariskan sasaran makro dan indikator yang hendak dicapai menerusi pembangunan JS-SEZ yang mampu menjadi pemangkin bagi menjayakan agenda Maju Johor 2030.

Sasaran itu mampu dicapai selepas delegasi kerajaan negeri mengadakan lawatan ke Shenzhen pada Mac lalu bagi mempelajari bagaimana perkampungan nelayan itu berubah menjadi salah satu ekonomi utama di China dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RMB 3.46 trilion tahun lepas.

“Pertamanya, kerajaan negeri meletakkan indikator yang hendak dicapai menerusi pembangunan JS-SEZ ialah merekodkan nilai KDNK sebanyak RM260 bilion melalui pertumbuhan tahunan sebanyak tujuh peratus.

“Kedua, kerajaan negeri menyasarkan pendapatan isi rumah sebanyak RM13,000 sebulan dengan mengambil kira limpahan ekonomi yang dibawa masuk.

“Ketiga, pembangunan JS-SEZ itu juga dilihat mampu menghasilkan 400,000 peluang pekerjaan baharu berpendapatan tinggi di negeri ini,” katanya menjawab soalan Amira Aisya Abd. Aziz (Muda-Puteri Wangsa pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.


Mengulas lanjut, Onn Hafiz (BN-Machap) berkata, wakil rakyat boleh menggunakan platform sesi libat urus yang akan diadakan oleh kerajaan negeri dan Kementerian Ekonomi pada awal Jun ini untuk memberikan cadangan dan pandangan.

Katanya, kerajaan negeri mampu menerapkan model pembangunan dan kemajuan di Shenzhen untuk diterjemahkan di JS-SEZ.

Katanya, sesi libat urus yang diadakan bersama lebih 40 syarikat berpotensi di Shenzhen mendapat maklum balas positif setelah majoriti mereka mempunyai keyakinan yang tinggi untuk datang melabur di Negeri Johor.

Jelasnya, keyakinan itu berasaskan beberapa faktor, antaranya kedudukan geografi Johor yang strategik dan ketersediaan tanah untuk pelbagai sektor ekonomi.

“Selain itu, Johor juga mempunyai infrastruktur yang baik meliputi pelabuhan, lapangan terbang, jaringan jalan raya dan utiliti, bahkan kos menjalankan perniagaan meliputi kos tanah dan sumber manusia yang kompetitif.

“Kestabilan politik dan dasar mesra pelabur yang jelas juga menjadi faktor yang menarik minat pelaburan untuk berlabur di negeri ini,” katanya. – UTUSAN

Ulasan