Pemeliharaan atau pemuliharaan pokok berusia?
KEBIMBANGAN terhadap keselamatan awam adalah asas bagi keperluan penyediaan garis panduan penyelenggaraan pokok berusia. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Oleh Meja Rencana
15 Mei 2024, 9:00 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
SAUDARA PENGARANG,
POKOK-pokok berusia di kawasan bandar memainkan peranan penting bukan sahaja mewujudkan landskap dan persekitaran hijau yang cantik, bahkan menjadi sumber keseimbangan ekosistem kawasan sekitarnya.
Namun, terdapat risiko keselamatan terutamanya pokok berusia yang mungkin tumbang akibat daripada penuaan, kelemahan struktur, atau faktor alam seperti ribut atau hujan lebat. Insiden pokok tumbang yang menyebabkan kecederaan dan kematian termasuk di Jalan Sultan Ismail yang menuntut kita untuk mengambil langkah-langkah proaktif dalam menjaga pokok-pokok berusia yang boleh mengancam keselamatan awam.
Pemuliharaan dan pemantauan pokok juga perlu dititikberatkan agar insiden yang sama tidak berulang. Pokok berusia yang tidak dipelihara dengan baik boleh menjadi ancaman yang serius kepada keselamatan awam dan kerosakan harta benda.
Usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menyediakan garis panduan baharu yang memberi fokus pokok berusia dan berisiko tinggi perlu disambut baik.
Kajian semula garis panduan ini perlu melibatkan kerjasama antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pakar landskap dan agensi-agensi lain yang terlibat. Kepentingan sumber kepakaran kakitangan seperti arborist dan arkitek landskap, kewangan dan teknologi di PBT perlu terutama dalam memeriksa, menilai serta memantau keadaan pokok, terutamanya di tempat awam. Apabila pokok berada dalam keadaan berisiko tinggi, langkah-langkah mitigasi seperti rawatan akar, pemangkasan atau penebangan perlu dilaksanakan.
Langkah lain yang boleh diambil termasuk peningkatan kesedaran dan kerjasama masyarakat dalam melaporkan pokok yang berpotensi bahaya atau risiko yang berkaitan dengan landskap bandar kepada pihak berkuasa tempatan. Ini akan membantu memastikan bahawa setiap isu yang dikenal pasti dapat ditangani dengan cepat dan berkesan di masa hadapan.-UTUSAN
DR. SYAZWANI SAHRIR
Pensyarah Kanan, Jabatan Alam Sekitar
Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar
Universiti Putra Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan