Piala Sultan Azlan Shah - Speedy Tigers tagih sokongan peminat





Speedy Tigers tagih sokongan peminat
PEMAIN negara cuba menyekat kemaraan pemain New Zealand dalam perlawanan persahabatan di Stadium Azlan Shah di Ipoh, kelmarin. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Oleh ROZAIDI ZULKIFLI
4 Mei 2024, 7:00 am

IPOH: Skuad Speedy Tigers menaruh harapan agar penyokong hadir membanjiri Stadium Azlan Shah bagi memberi sokongan kepada Malaysia sepanjang kempen Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) edisi ke-30 yang membuka tirai hari ini.

Kedatangan penyokong Malaysia pastinya memberi suntikan motivasi tambahan kepada pemain-pemain untuk berjuang demi lencana di dada di kejohanan berkenaan.

Malaysia bakal membuka tirai kempen PSAS 2024 menentang Pakistan malam ini dengan misi mencatat keputusan positif.

Tonggak tengah negara, Fitri Saari menyeru rakan-rakan sepasukan untuk memberi aksi terbaik supaya tidak menghampakan penyokong-penyokong yang setia memberi sokongan kepada pasukan.

Jelasnya, sokongan para penyokong semestinya sangat penting kepada pemain-pemain terutama apabila beraksi sebagai pasukan tuan rumah.

“Kami akan cuba beri yang terbaik dalam setiap perlawanan yang diharungi. Fokus utama ketika ini adalah perlawanan esok menentang Pakistan.


“Kemenangan semestinya penting untuk aksi pertama bagi meningkatkan motivasi pasukan pada perlawanan seterusnya.

“Jadi saya harap pada perlawanan esok kami akan dibantu oleh penyokong-penyokong untuk bersama-sama berjuang mengharumkan nama negara dan semestinya kami akan menampilkan aksi terbaik,”katanya kepada Utusan Malaysia.

Tiga rekod pertemuan terakhir Malaysia dan Pakistan juga seimbang buat kedua-dua pasukan apabila masing-masing mencatat satu kemenangan,satu seri dan satu tewas.

Kali terakhir Malaysia menjinakkan Pakistan adalah pada 3 Ogos 2023 di kempen Trofi Juara-Juara Asia dengan keputusan 3-1 manakala seri 3-3 dicatat pada kelayakan Olimpik Paris di Oman, Januari lalu.

Kekalahan Speedy Tigers pula dicatat di Sukan Asia Hangzhou 2023 dengan keputusan 5-2.

Malaysia yang menduduki ranking ke-13 dunia, akan memulakan kempen menentang juara tiga kali Pakistan malam ini, diikuti aksi menentang Kanada (5 Mei), juara dua kali New Zealand (7 Mei), Jepun (8 Mei) dan juara tiga kali Korea Selatan (10 Mei).

Ulasan