PN yakin kekuatan gabungan, parti kekal hingga PRU16



PN yakin kekuatan gabungan, parti kekal hingga PRU16
ASRUL AIMRAN ABDUL JALIL
Oleh MEDIA MULIA
23 Mei 2024, 7:29 am

KANGAR: Perikatan Nasional (PN) negeri tidak hanya bergantung kepada gelombang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semata-mata sebaliknya mempunyai kekuatan sendiri dalam mengekalkan sokongan khususnya bagi mendepani pilihan raya akan datang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan Pas negeri, Asrul Aimran Abd. Jalil berkata, beliau percaya gabungan tersebut berupaya mengekalkan sokongan pada PRU16 disebabkan oleh pencapaian dan kekuatan pentadbiran kerajaan negeri.

Menurut beliau, dalam tempoh pemerintahan PN pasca PRU15, kerajaan negeri dapat menarik ramai pemain industri dan pelabur luar ke negeri ini dalam memberikan perkhidmatan terbaik buat rakyat secara keseluruhan.

“Kita harap dengan keha­diran mereka (pelabur) dan ke­sediaan kita (kerajaan negeri) untuk terima pelbagai saranan dan pandangan pihak luar, mampu untuk memberi gambaran bahawa PN bersedia bersama rakyat. PN dan Pas bersedia untuk melalui PRU16 nanti untuk pastikan momentum rakyat terus disemarakkan bersama kami,” katanya.

Pada PRU15, PN berjaya menamatkan penguasaan Barisan Nasional (BN) di Perlis apabila memenangi 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala baki satu kerusi dimenangi calon Pakatan Harapan (PH).

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli, Asrul berkata, pimpinan kerajaan negeri memberi kepercayaan penuh kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu untuk terus kekal memimpin ne­geri ini.


“Apa yang jadi ini adalah proses biasa dan ada di negeri-negeri lain juga. Di peringkat kita, selagi mana belum disahkan salah, kita akan bagi sokongan terbaik kepada Menteri Besar untuk terus pimpin Perlis khususnya dalam menunaikan manifesto PRU15,” katanya.

Katanya, dalam tempoh sukar ini, Mohd. Shukri perlu diberi sokongan dan dukungan penuh oleh semua pihak khususnya barisan pimpinan kerajaan negeri serta parti.

“Bagi tempoh ini, kita akan terus bagi semangat dan motivasi kepada beliau dalam proses untuk pulihkan keadaan agar kita sama-sama dapat meneruskan khidmat kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

Ulasan