PRK KKB: Anak muda kebal ‘gula-gula politik’





PRK KKB: Anak muda kebal ‘gula-gula politik’
May 14, 2024


KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) pada 11 Mei lepas yang memihak Pakatan Harapan (PH) dengan undi majoriti 4,119 bagaimanapun mengandungi ‘mesej’ golongan anak muda kerajaan Madani.

Ketua Pengarah Ameerah, Dewan Muslimat PAS Malaysia (Ameerah Malaysia), Mardhiyyah Johari berkata, mesej tersebut ialah sokongan besar pengundi muda kepada Perikatan Nasional yang meraih undi 10,131 jelas masih konsisten dengan gelombang undi yang diberikan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ia berikutan hasil kajian Institut Darul Ehsan (IDE) bagi PRK KKB yang mendapati Perikatan PN menguasai undi golongan muda iaitu bagi usia 40 tahun ke bawah, malah PN memperoleh 63% undi daripada pengundi berusia 18 hingga 24 tahun.

“Justeru, Ameerah Malaysia menyambut baik hasil kajian IDE bagi PRK KKB itu. (Terbukti) Segala gula-gula (politik) bersifat rasuah pilihan raya yang diumumkan sepanjang kempen PRK KKB oleh PH tidak mampu membeli undi golongan muda.

“Sangat ironi apabila golongan muda tidak memberi undi kepada calon muda PH-BN kerana sedar calon daripada DAP mewakili koalisi yang memimpin Kerajaan Madani.

“Ternyata golongan anak muda tidak berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Madani,” katanya.

Menurut Mardhiyyah, jika mahu bermuhasabah, tembok keras antara Kerajaan Madani dan golongan muda perlu dirobohkan terutama berkaitan kebebasan bersuara.

Tambahnya, Amnesty International menerusi laporan tahunan kumpulan hak asasi manusia global bagi tahun 2023 dan 2024 melaporkan kerajaan Malaysia gagal memberikan komitmen bagi menambah baik undang-undang mengekang kebebasan bersuara serta mengancam ruang awam.

“Isu ekonomi, pengangguran, pendidikan dan kos sara hidup sangat memberi kesan kepada golongan muda. Tidak cukup dengan tekanan sedia ada, diganggu pula hak asasi yang tidak sewajarnya disentuh iaitu kebebasan bersuara.

“Kandungan-kandungan TikTok dipadam, tiktoker-tiktoker disiasat, pemimpin-pemimpin pembangkang begitu mudah ditahan dan disiasat namun sebaliknya pula bagi pemimpin kerajaan. Anak muda melihat dan menilai,” tegasnya.

Sehubungan itu, Mardhiyyah menyatakan, Ameerah Malaysia mengucapkan tahniah kepada pengundi muda KKB yang menunjukkan prinsip golongan anak muda tidak boleh dijual beli atau kebal ‘gula -gula politik’. – HARAKAHDAILY 14/5/2024

Ulasan