‘Safari’ di Ulu Tembeling





‘Safari’ di Ulu Tembeling

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA dan HARIS FADILAH AHMAD
26 Mei 2024, 8:00 am

JERANTUT: Sudah hampir 20 tahun penduduk setempat menyaksikan suasana seperti ‘safari’ apabila kawanan gajah kerap melintas atau pun berehat di atas jalan raya antara Kampung Pagi, Bukit Awan dan Kampung Kuala Sat di Ulu Tembeling di sini.

Berdasarkan maklumat penduduk, kawanan gajah liar difahamkan antara 20 hingga 30 ekor itu cuma ‘bersembunyi’ di kawasan hutan berdekatan kampung kerana sebelum ini habitatnya sudah dibangunkan dengan projek perladangan yang luas oleh pihak tertentu.

Tinjauan di tepi jalan di situ turut menemukan banyak kesan tapak kaki, tahi gajah dan lokasi haiwan liar itu mandi.

Turut ditemukan papanpapan tanda jalan raya dipasang oleh pihak berwajib sudah senget dan menyembah bumi dipercayai digesel oleh gajah liar.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, penduduk Kampung Pagi, Mustapa Abdullah, 37, berkata, kawanan gajah itu dilihat kerap melintas jalan antara Kampung Pagi ke Kampung Kuala Sat dan ia bukanlah perkara baharu.

Ini kerana katanya, kawasan terbabit adalah ‘Koridor Gajah’ Kampung Kuala Sat yang mempunyai sumber makanan buat haiwan liar tersebut.


“Ada pengunjung luar memberitahu saya fenomena di sini seakan-akan ‘Safari Afrika’ tetapi cuma mereka dapat melihat gajah liar pada waktu siang dan sekali-sekala terserempak harimau belang pada waktu malam.

“Saya banyak kali melihat gajah berkeliaran dan merayau di pinggir jalan antara Kampung Pagi ke Kampung Kuala Sat dan sudah menjadi lumrah penduduk di kawasan Ulu Tembeling terserempak dengan gajah dan harimau belang di jalan raya.

“Kadang-kadang haiwan liar ini masuk ke kawasan tanaman komersial penduduk pada sebelah malam untuk mencari makanan, tetapi tidak mengganggu manusia,” katanya ketika ditemui di sini.

HUTAN DITEROKA, HABITAT GAJAH MUSNAH

Seorang lagi penduduk, Zulkifly Jamaluddin, 59, berkata, dia banyak kali terserempak dan melihat kawanan gajah liar melintas jalan antara Kampung Pagi ke Mat Daling berdekatan dengan Kampung Samas pada sebelah pagi dan petang ketika berulang alik ke tempat kerja di Kampung Kuala Sat.

Menurutnya, kawanan gajah liar yang terdiri daripada kira-kira 20 ekor yang pernah dia temui, biasanya menjadikan habitat di hutan pinggir jalan raya tersebut untuk mencari makanan setiap hari malah kadang kala menceroboh masuk ke kawasan tanaman penduduk dan merobohkan gerai di tepi jalan.

“Umumnya sudah mengetahui, penerokaan hutan Ulu Tembeling sejak lebih 20 tahun lalu untuk sektor perladangan, pembalakan dan sebagainya menyebabkan gajah liar termasuk haiwan lain kehilangan habitat dan kawasan rayau untuk mencari makanan.

“Bukan sahaja gajah, harimau belang dan tapir juga kerap ditemukan melintas jalan oleh penduduk yang berkenderaan pada waktu malam antara Kampung Tuit (Kuala Tahan) ke Mat Daling,” katanya.

TARIKAN PELANCONG UNTUK BERGAMBAR

Rakan Zulkifly, Dahalan Mohamad, 50, berkata, gajah liar merupakan sebahagian daripada ‘ahli masyarakat’ penduduk Ulu Tembeling kerana dia sering terserempak dengan haiwan yang besar di dataran itu yang melintas jalan.

Katanya, gajah liar juga pernah dilihat berkubang di anak sungai berdekatan dan mencari makanan sepanjang laluan antara Kampung Pagi ke Kampung Kuala Sat.

“Fenomena gajah liar bebas berkeliaran di sepanjang laluan ini mewujudkan kawasan ‘Safari Ulu Tembeling’ apabila penduduk serta pelancong ke sini dapat melihat lebih dekat serta berpeluang mengambil gambar.

“Seperti rakan-rakan lain di sini, kenderaan saya pernah dihampiri beberapa ekor gajah ketika berhenti di laluan tersebut untuk membiarkan kawanan berkenaan melintas tanpa gangguan,” katanya.

Dahalan berkata, setiap pengguna jalan raya di kawasan itu sentiasa berwaspada dan tidak pernah menggangu haiwan liar itu mencari makanan di pinggir jalan malah sehingga kini belum ada terdengar ancaman daripada gajah tersebut.

Katanya, fenomena gajah liar melintas jalan raya antara Kuala Tahan, Kampung Pagi, Bukit Awan dan Kampung Kuala Sat merupakan lumrah serta kerap ditemukan oleh penduduk dan pelancong yang melawat ke Ulu Tembeling.

WUJUDKAN HABITAT BAHARU

Penduduk Kampung Pagi, Mi Hamidi Nipah, 55, pula berpandangan, kawasan rayau gajah liar berdekatan jalan raya Kampung Pagi, Bukit Awan hingga ke Kampung Kuala Sat perlu diwujudkan dan pihak berwajib boleh menanam pokok makanan serta memelihara kawasan hutan di situ bagi tujuan memulihkan semula habitat haiwan tersebut.

“Kawanan gajah ini sudah menjadikan kawasan hutan berdekatan jalan raya sebagai habitat kerana banyak penduduk dan pelancong melihat haiwan liar itu keluar mencari makanan di pinggir jalan di sini.



“Situasi itu secara tidak langsung menjadi aset pembangunan kepada sektor pelancongan di Ulu Tembeling apabila pengunjung berpeluang melihat gajah liar di depan mata di samping singgah berekreasi dan beriadah di perkampungan Melayu radisional iaitu Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Gusai, Kampung Mat Daling dan Jeram Perahu,” katanya.

Tambah Mi Hamidi, projek seperti santuari ini tidak mustahil boleh dilaksanakan sekiranya perancangan teliti program rehabilitasi dan pemuliharaan haiwan liar seperti di India, Thailand, Afrika diguna pakai, selain dapat dijadikan sebagai pusat kajian gajah liar termasuk perlindungan alam sekitar.

CONTOHI THAILAND

Dalam pada itu, pencinta haiwan liar dan alam sekitar, Sabri bdullah, 55, berkata, kerajaan perlu lebih serius dengan mewujudkan pusat konservasi gajah di luar kawasan Taman Negara seperti di hutan Ulu Tembeling berdekatan jalan raya Kuala Tahan ke Mat Daling.

“Sudah sampai masanya setelah lebih dua dekad lalu kita berdepan konflik ini, kerajaan perlu mewujudkan habitat baharu dan kawasan sumber makanan gajah liar bagi mengelakkan haiwan ini terus menceroboh kampung.

“Pihak berwajib perlu mencontohi serta mempelajari kepakaran negara Thailand tentang projek konservasi gajah kerana mereka (Thailand) sentiasa bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Nature and Wildlife Association yang berjaya mengurangkan konflik antara manusia dengan gajah,” katanya.

‘LEBIH BAIK BERPATAH BALIK’

Ujarnya, usaha tersebut bukan sahaja dalam bidang pemuliharaan sebagai pelantar menjana sektor pelancongan, tetapi turut melibatkan penglibatan serius kebanyakan penduduk luar bandar yang mahu berhubung dengan pihak berkuasa dan NGO sekiranya menemukan gajah liar termasuk menjaga keselamatan dan kebajikan haiwan tersebut.

Bagi bekas mahut yang berpengalaman 41 tahun bersama dengan gajah, Saudi Sidek, 65, pula berkata, kawasan antara Kampung Pagi, Bukit Awan dan Kampung Kuala Sat di Ulu Tembeling memang habitat gajah liar.

“Memang sewaktu bertugas sebagai mahut sebelum ini pun, saya pernah terlibat sama menangkap lebih 10 ekor gajah di situ. Malah sebelum ini, ada haiwan liar ini yang dilepaskan di kawasan tersebut.

“Kawanan gajah liar itu keluar ke kawasan tersebut kerana saya percaya bagi mencari makan disebabkan habitat haiwan itu telah musnah akibat penerokaan hutan,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati jika terserempak gajah liar.

“Kalau boleh patah balik, lebih baik lakukannya, janganlah kita berhenti semata-mata mahu ambil gambar. Malang tidak berbau kerana haiwan liar ini kita tidak boleh duga. Apa yang penting adalah keselamatan diri dan keluarga,” katanya.

Ulasan