Silibus AI: Pastikan ada internet, tenaga pengajar terlatih





Silibus AI: Pastikan ada internet, tenaga pengajar terlatih
ROBOT Tesla, Optimus dikawal oleh sistem kecerdasan buatan. -TESLA
Oleh FATIN NORIZATI MAT ISA
12 Mei 2024, 8:06 am


PETALING JAYA: Sebelum silibus kecerdasan buatan (AI) dilaksanakan kerajaan perlu memastikan fasiliti terutama capaian internet tidak menjadi penghalang kepada pelajar di luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak untuk turut menguasai subjek tersebut.

Perkara ini dibangkitkan kerana terdapat banyak kelemahan di kawasan luar bandar terutama capaian internet dan ditambah fasiliti lain yang tidak lengkap.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Seksyen Keselamatan Siber Institut Teknologi Maklumat Malaysia (MIIT) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Dr. Shafiza Mohd Shariff berkata, penggunaan fasiliti di luar bandar perlu menjadi keutamaan kerajaan dalam memastikan semua pelajar tidak ketinggalan dan dapat belajar sama rata dengan pelajar di bandar-bandar.

“Kaji dan tinjau dulu ba­gai­mana fasiliti luar bandar boleh atau tidak dan jika tidak boleh perlu penambahbaikan dan di­pertingkatkan kerana tanpa fa­siliti ini, apa yang dipelajari oleh pelajar tidak dapat memberi manfaat.

“Kekurangan fasiliti juga menyebabkan konsep pembela­jaran AI hanya dapat difahami melalui teori sahaja tanpa dipraktikkan,” katanya.

Menurut beliau, sebelum pelaksanaan silibus AI kerajaan tidak boleh membiarkan pelajar di luar bandar ketinggalan seperti sesi pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) ketika Covid-19 melanda.

PENGAJAR

Selain itu, kata beliau, kakitangan pengajar juga perlu diberi latihan secukup-cukupnya agar mereka yang akan mengajar pelajar benar-benar faham, kreatif dan inovatif dalam menyampaikan ilmu.

“Kita perlu menilai kese­dia­an guru untuk belajar dan me­ningkatkan kemahiran mereka, terutama dalam konteks mengajar di sekolah luar bandar dan kursus yang sesuai perlu disediakan untuk meningkatkan kecekapan mereka dalam menguruskan tahap penguasaan yang rendah dalam kala­ngan pelajar.

“Guru perlu diberi pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi untuk mengajar dengan berkesan kerana mungkin terdapat perbezaan ketara proses pengajaran sekolah di bandar dan luar bandar disebabkan pelbagai faktor.

“Guru juga perlu dapat mengadaptasi cara pengajaran mereka mengikut tahap setiap pelajar serta pendekatan yang sama tidak semestinya berkesan untuk semua pelajar dan penting untuk memahami perbezaan setiap individu dan menyelaraskannya dengan cara pengajaran yang sesuai,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pakar Kecerdasan Buatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Razali Yaakob berkata, akses internet sudah semestinya perlu dipertingkatkan terutamanya di kawasan luar bandar.

“Walaupun terdapat banyak perisian dan bahan-bahan AI yang beroperasi sendiri, tetapi akses internet yang baik diperlukan untuk memuat naik dan memasangnya ke dalam komputer.

“Malaysia perlu menyediakan tenaga mahir dalam bidang AI dan meningkatkan kemahiran tenaga pengajar yang sedia ada kerana ilmu AI semakin berharga,” katanya.
Katanya, walaupun sebahagian besar peralatan dan bahan tersedia dalam talian ia masih memerlukan internet yang baik. – UTUSAN

Ulasan