Suhu terpanas seperti 1998 berisiko berulang



Suhu terpanas seperti 1998 berisiko berulang
CUACA panas hingga Julai ini tidak mustahil menyebabkan suhu terpanas di Malaysia, iaitu 40.1 darjah Celsius yang pernah direkodkan di Chuping pada 9 April 1998 berulang. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Oleh HAFIZ MUTALIB
4 Mei 2024, 8:00 am

KANGAR: Suhu terpanas di Malaysia iaitu 40.1 darjah Celsius yang pernah direkodkan di Chuping di sini pada 1998 tidak mustahil berulang berikutan cuaca panas dijangka sehingga Julai ini susulan peralihan Monsun Timur Laut dan fenomena El Nino.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Kesihatan dan Teknologi Hijau Negeri Perlis, Megat Hashirat Hassan berkata, melihat kepada situasi dan trend semasa berkemungkinan suhu mencecah lebih 40 darjah celsius itu boleh berulang di negeri ini.

Bagaimanapun katanya, ke­ra­jaan negeri sentiasa bersiap sedia berdepan cuaca panas yang dijangka berlarutan itu.

Katanya, pada masa ini, ada hujan di Perlis terutama pada waktu malam sejak beberapa hari lalu sekali gus meredakan sikit suhu panas melampau pada sebelah siang.

“Kita sentiasa siap sedia berdepan cuaca panas ini termasuk daripada aspek kesihatan di mana dengan maklumat akan sentiasa di kemas kini daripada jabatan kesihatan negeri,” katanya.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, negaraa dijangka terus berdepan dengan cuaca panas hingga Julai ini susulan peralihan Monsun Timur Laut dan fenomena El Nino yang sedang melanda dunia ketika ini.


Negeri-negeri yang kini dilanda cuaca panas antara 37 hingga 40 darjah Celsius bagi tempoh kira-kira tiga bulan ialah Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Perlis dan Kedah.

Menteri Sumber Asli dan Kelesta­­ri­an Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, terdapat juga ramalan mengatakan tahun ini merupakan tahun paling panas selepas 1998 dengan kali terakhir cuaca yang panas melanda negara ini adalah pada sekitar 1998 di Perlis sebelum ini.

Chuping pada 9 April 1998, pernah merekodkan suhu tertinggi dan terpanas di Malaysia, iaitu 40.1 darjah Celsius.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana negeri, Izizam Ibrahim berkata, berdasarkan data hujan tahunan yang telah dicerap oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan Perlis akan menerima hujan bermula pada bulan Mei setiap tahun.

Selain itu, katanya, laporan tinjauan cuaca jangka panjang bagi April hingga September yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) bertarikh 31 Mac 2024 menganggarkan Perlis akan menerima taburan hujan dalam lingkungan purata iaitu sebanyak 140 hingga 210 milimeter sebulan.

“Justeru, berdasarkan maklumat ramalan cuaca yang telah dikemukakan serta ketersediaan input pertanian, bekalan air pertanian dijangka dapat dibekalkan seawal bulan Mei 2024.

“Bagi memastikan bekalan air domestik tidak terjejas, JPS Perlis juga ingin mencadangkan supaya proses catuan air kepada bekalan domestik sebanyak 20 peratus sekiranya aras air empangan turun sehingga 26.80 meter sepertimana yang telah ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) empangan,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Ismail Ibrahim,50, berkata, cuaca panas yang dijangka berlarutan tidak mustahil akan menyaksikan suhu tertinggi di Chuping pada 1998 berulang.

“Pada masa ini, memang panas namun nasib baik ada juga berlaku hujan kadang-kala menyebabkan suasana panas itu sedikit berkurangan,” katanya. – UTUSAN

Ulasan