‘Tafsiran tidak sukar, 7 wakil rakyat Bersatu kena kosongkan kerusi’




‘Tafsiran tidak sukar, 7 wakil rakyat Bersatu kena kosongkan kerusi’
Azmin Ali
Oleh MEDIA MULIA
23 Mei 2024, 7:30 am

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) yakin pilihan raya kecil (PRK) bagi enam kerusi parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu diadakan berdasarkan Akta Anti Lompat Parti 2022 jika semua yang terlibat kekal dengan pendirian masing-masing

Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kesemua ahli parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sedang memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah diberi notis minggu lalu.


Menurut beliau, status gugur keahlian akan diketahui selepas kesemua mereka menjawab notis tersebut dengan menyatakan pendirian sama ada untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan atau kembali kepada parti.

“Seperti yang terkandung dalam perlembagaan parti dan sekiranya mereka gagal mematuhi arahan parti yang disebut secara spesifik maka keanggotaan mereka dengan sendirinya terhenti dan ini akan kita maklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat dan DUN Selangor tentang kekosongan kerusi-kerusi berkenaan.

“Sebab kalau kita lihat Akta Lompat Parti, mana-mana anggota dewan yang terbatal keanggotaannya mesti mengosongkan kerusi, jadi tak perlu kita buat tafsiran yang terlalu sukarlah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, beliau tidak akan membalas surat arahan yang dikeluarkan kepada semua wakil rakyat parti itu untuk menjawab berhubung keahlian mereka dalam Bersatu bagi tempoh 14 hari bermula Jumaat lalu.


Dalam pada itu, Moha­med Azmin berkata, parti itu yakin akan mempertahankan keenam-enam kerusi tersebut khususnya di Selangor iaitu Parlimen Tanjong Karang dan DUN Selat Klang.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PN berkata, pihaknya sudah mengarahkan mood pilihan raya bagi kawasan Tanjong Karang dan Selat Klang diaktifkan selain akan turun ke sana pada awal bulan depan untuk memantau persiapan.
WATIKAH

“Antara perkara yang kita lakukan ialah malam tadi (mesyuarat Bersatu Selangor pada Isnin), saya menyampaikan watikah pelantikan bagi pihak Presiden, Tan Sri Muhyiddin kepada ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh sebagai Ketua Bahagian Penaja Tanjong Karang.

“Beliau akan membentuk jawatankuasa penaja bahagian Tanjong Karang dengan serta-merta sekaligus membentuk Jentera Pilihan Raya Parlimen Tanjung Karang berdasarkan daerah mengundi.

“Arahan yang sama saya berikan kepada, Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Kapar, Ahmad Halim Hussin untuk segera menggerakkan jentera pilihan raya di Selat Kelang,” ujarnya.

Terdahulu seramai enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN dilapor berpaling tadah apabila bertindak menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bermula dengan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.

Kemudian Datuk Suhaili Abdul Rahman(Labuan), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Syed Abu Hussin, Dzulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) dan Abdul Rashid Asari (ADUN Selat Klang).- UTUSAN

Ulasan