3 juta hadap sesak 10 tahun lagi


3 juta hadap sesak 10 tahun lagi
KESESAKAN dilalui warga kota selepas pascapandemik Covid-19 dianggap ‘menggila’ apabila kesesakan turut berlaku pada hujung minggu, cuti sekolah atau musim cuti perayaan tanpa mengira waktu.
Oleh FITRI NIZAM
4 Jun 2024, 7:45 am

PETALING JAYA: Lebih tiga juta pemandu kenderaan persendirian khususnya di Lembah Klang diramalkan terpaksa terus menghadapi kesesakan lalu lintas yang teruk di ibu negara terutama pada waktu puncak untuk tempoh 10 tahun lagi.

Kesesakan yang sedang dilalui warga kota selepas pascapandemik Covid-19 tersebut dianggap ‘menggila’ apabila masalah itu turut berlaku pada hujung minggu, cuti sekolah atau musim cuti perayaan tanpa mengira waktu.

Puncanya disumbangkan pelbagai faktor, antara yang terbesar adalah jum­lah pemilikan kenderaan yang ba­nyak khususnya di Lembah Klang, ke­padatan penduduk manakala pe­ngang­kutan awam belum mencapai tahap efisien seperti diharapkan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar jalan raya dari Jabatan Kejuruteraan Awam Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Profesor Madya Dr. Ng Choy Peng berkata, pembinaan pelbagai lebuh raya di ibu negara tidak banyak memberi kesan terhadap kesesakan di Lembah Klang terutama untuk yang berulang-alik kerja.

Menurut beliau, walaupun lebuh raya di Malaysia dianggap terbaik, namun pemilikan kenderaan terlalu tinggi menyebabkannya masih tidak mampu menampung aliran di semua laluan baharu yang disediakan.

“Satu-satunya langkah paling berkesan untuk menangani masalah kesesakan jalan raya di Lembah Klang adalah dengan pembinaan pengangkutan awam seperti transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT) dan seumpamanya.


“Buat masa ini, memang kita sudah ada pengangkutan awam tetapi tahap keberkesanannya dan capaiannya masih belum matang.

“Pada masa sama, kita perlu membina lebih banyak pengangkutan awam untuk menghubungkan penduduk di kawasan pinggir bandar seperti di perumahan baharu ke Kuala Lumpur bagi membolehkan misi Greater KL tercapai,” katanya ketika dihubungi semalam.

Oleh itu, jelas beliau, berdasarkan perkembangan ekonomi semasa selepas pandemik Covid-19 dan beberapa faktor penyumbang kesesakan, masalah ini khususnya di Lembah Klang mungkin boleh diselesaikan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Katanya, penyelesaian kepada kesesakan tersebut adalah kerajaan perlu membina jaringan pengangkutan awam yang lebih efisien bagi memudahkan warga Lembah Klang memilih berulang-alik ke tempat kerja menggunakan pengangkutan awam.

Menurutnya, ketika ini masih ramai warga kota merugut mengenai kecekapan pengangkutan awam belum memuaskan selain memerlukan mereka menukar jaringan perhubungan untuk tiba di satu-satu destinasi.

Pada 1999, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad memindahkan pusat pentadbiran negara dari Kuala Lumpur ke Putrajaya akibat kepadatan dan kesesakan di Lembah Klang.

Bagaimanapun, Lembah Klang terus menjadi pusat ekonomi khususnya sektor perindustrian dan teknologi maklumat mengakibatkan ia masih menjadi pilihan utama bukan sahaja rakyat Malaysia bahkan tenaga kerja luar.

Malah sehingga kini, penduduk Lembah Klang termasuk warga asing dianggarkan berjumlah tujuh juta orang.

Mengulas lanjut, Choy Peng yang juga pakar kejuruteraan lebuh raya berkata, strategi kerajaan melakukan pengagihan kuasa seperti pembukaan kawasan baharu sebagai pusat khusus sesuatu sektor sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesesakan dan kepadatan di Lembah Klang.

Bagaimanapun, katanya, ia hanyalah penyelesaian jangka sederhana sekiranya kawasan baharu tidak dilengkapi pengangkutan awam yang efisien.

“Pemindahan pusat pentadbiran di Putrajaya, pembukaan bandar satelit seperti Cyberjaya sebagai pusat teknologi maklumat adalah langkah desentralisasi, namun kawasan-kawasan tersebut juga perlu dilengkapi sistem pengangkutan awam yang efisien supaya mengelakkan orang ramai memandu sendiri,” katanya.

Berdasarkan kajian dilakukan Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia, terdapat 10 lokasi di Lembah Klang dikenal pasti mengalami kesesakan trafik paling teruk dengan kadar kelewatan antara 178 sehingga 352 minit sehari atas pelbagai faktor termasuk aliran kenderaan terlampau tinggi pada satu-satu masa.

Lokasi dan kadar kelewatan tertinggi adalah Jalan Sungai Besi dengan kadar kelewatan mencapai 352 minit, Jalan Kuching (288 minit), Jalan Sultan Azlan Shah (234 minit), Jalan Klang Lama (224 minit), Jalan Kuchai Lama (224 minit), Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (216 minit), Le­buh Raya Salak E37 (208 minit), Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban (208 minit), Jalan Cheras (208 minit) dan Jalan Travers serta Jalan Damansara (178 minit).

Kementerian Pengangkutan pada Di­sember lalu merekodkan jumlah kereta persendirian di seluruh negara adalah 17,244,978 unit. – UTUSAN

Ulasan