Dosa terampun dengan sebab kemenangan Islam


Dosa terampun dengan sebab kemenangan Islam
June 3, 2024



PORT DICKSON: Apabila berlaku kemenangan Islam di sesuatu tempat, ia akan menyebabkan dosa-dosa golongan terdahulu dan kemudian terampun seperti dinyatakan Allah SWT di dalam al-Quran dari satu sirah kemenangan Rasulullah SAW.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia disebabkan berlakunya perubahan kepada pentadbiran yang menghapuskan maksiat yang telah dibenarkan oleh pentadbiran sebelumnya.

“Allah SWT menjelaskan kemenangan Islam tujuan pertama dan besar ialah kerana Allah SWT nak ampun dosa yang dulu dan dosa yang kemudian.

“Dengan kemenangan Islam kita boleh betulkan dasar yang tak betul, kemungkaran yang dibenarkan zaman dulu, contohnya perjudian,” katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Jelas beliau, wujudnya premis perjudian kerana kelulusan diberi oleh pemimpin yang berkuasa pada waktu itu dengan mendapat kuasa melalui pilihan raya.

Tambahnya, pemimpin itu mendapat kuasa hasil sokongan rakyat terdahulu yang menyebabkan semuanya bersekongkol dengan maksiat itu.

“Macam mana kita nak hentikan? Kita berjuang. Bila kita menang kita tutup premis perjudian, supaya dosa tadi terhenti. Bukan sahaja dosa yang dulu diampun oleh Allah SWT, tetapi juga dan dosa yang akan datang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Port Dickson yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, semalam.

Tambahnya, sewaktu PAS berjaya mentadbir Kelantan dahulu, pentadbiran baharu itu telah menyemak semula dan menghentikan dasar-dasar yang bercanggah dengan Islam.

“Mana yang tak bercanggah kita benarkan. Ada proses-proses yang kita alami. Demikian juga kita menang di Terengganu. Kita tak tutup terus bar, disko, kelab malam. Tetapi kita ada proses, ada kaedah-kaedah yang kita buat, ada aulawiyat.

“Mana yang perlu utama dulu, mana yang perlu kemudian. Sebab kena teliti, kena hati-hati. Allah SWT bila mana mengharamkan arak ada tiga peringkat. Demikian juga Allah SWT dalam waktu menetapkan sesuatu hukum, ia tidak akan mengejut tiba-tiba sahaja,” katanya.

Tambahnya, ia sama dengan perintah solat Jumaat yang diterima sewaktu Rasulullah SAW berada di Makkah, namun ia hanya boleh dilaksanakan di Madinah selepas berlaku Hijrah kerana ketidaksesuaiannya untuk dilaksanakan di Makkah sebelum itu.

Kata Ustaz Tuan Ibrahim lagi, proses perjuangan dan mukjizat adalah dua perkara yang berbeza dengan mengambil ibrah Rasulullah SAW hanya dijalankan dalam satu malam ke langit dalam peristiwa Isra’ Mikraj, namun terpaksa menaiki unta berhari-hari untuk berhijrah ke Madinah.

“Senang bagi Allah SWT, tetapi Allah nak suruh kita bekerja. Allah SWT nak bagi menang ni mudah saja, ‘kun faya kun’. Tetapi Allah SWT menetapkan bahawa ada proses. Perkara yang bersifat mukjizat itu lain. Ada pun perjuangan kena lalu manhajnya, prosesnya, kena lalu,” ujarnya.

Turut berucap di dalam majlis itu ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Kamarol Ridzuan Md Zain yang juga ADUN Paroi dan Yang Dipertua PAS Kawasan Port Dickson, Ustaz Abdul Fatah Zakaria yang juga ADUN Bagan Pinang.

Turut hadir ialah Ketua Dewan Pemuda Negeri, Ustaz Mohd Mahfuz Roslan dan Ketua Dewan Muslimat Negeri, Masita Mohamed Ali. – HARAKAHDAILY 3/6/2024

Ulasan