Ibu bapa Zayn Rayyan tertekan tapi beri kerjasama kepada polis – Peguam





Ibu bapa Zayn Rayyan tertekan tapi beri kerjasama kepada polis – Peguam
ZAYN RAYYAN

Oleh MASZUREEN HADZMAN
2 Jun 2024, 1:28 pm

PETALING JAYA: Ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin yang direman tujuh hari memberi kerjasama yang baik sepanjang tempoh ditahan sejak Jumaat lalu.

Peguam yang mewakili suami isteri itu, Mahmud Abdul Jumaat ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, pasangan yang masing-masing berusia 28 tahun itu masih direman di Balai Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Menurut beliau, kedua-dua mereka dilihat agak tertekan dan kecewa dengan apa yang berlaku.

“Namun mereka ingin memberi kerjasama sepenuhnya dengan pihak polis,” katanya di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tiada sebarang rampasan dilakukan terhadap telefon bimbit mahupun barangan peribadi pasangan itu setakat ini.

Terdahulu, polis menemukan bukti baharu dalam siasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan, 6, pada Disember tahun lalu sebelum membawa kepada penahanan kepada ibu bapa kanak-kanak autisme itu pada Jumaat lalu.


Penahanan pasangan itu dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Siasatan Khas) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di kediaman keluarga mereka di Puncak Alam pada pukul 10.25 pagi dan perintah reman diperoleh semalam.

Ibu bapa kepada kanak-kanak itu kemudian direman seminggu bermula hari ini sehingga 7 Jun ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Ulasan