Malaysia bakal terlepas RM23.4 trilion pasaran halal




Malaysia bakal terlepas RM23.4 trilion pasaran halal
HANYA 10,000 syarikat dalam industri halal mempunyai sijil halal yang sah.
Oleh HAFIZ SAIDINA
3 Jun 2024, 7:51 am

PETALING JAYA: Malaysia bakal terlepas peluang dalam pasaran halal sebanyak RM23.4 trilion kerana hanya 10,000 daripada 250,000 syarikat yang terlibat dalam industri berkenaan memiliki sijil halal yang sah.

Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation (HDC), Hairol Ariffein Sahari berkata kepada Utusan Malaysia, daripada 10,000 syarikat yang mendapat sijil halal, 3,000 daripadanya terlibat dalam sektor eksport bernilai RM55 bilion pada tahun lalu.

Menurut beliau, jika kesemua 250,000 syarikat yang terlibat dalam industri tersebut mempunyai sijil halal yang diperakui, negara boleh menjana pendapatan menerusi eksport pasaran global sehingga RM23.4 trilion menjelang 2030.

Katanya, setakat tahun 2020, syarikat-syarikat halal Malaysia sudah memasarkan produk bernilai AS$3 trilion (RM14.1 trilion) dalam pasaran antarabangsa dan jumlah itu dijangka meningkat menjelang 2030.

“Di Malaysia dianggarkan terdapat 250,000 syarikat yang terlibat dalam industri halal tetapi yang mempunyai sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak sampai 10,000 syarikat.

“Daripada 10,000 syarikat itu pula, hanya 3,000 syarikat yang bergiat aktif dalam mengeksport makanan halal ke pasaran global melibatkan pendapatan mencecah RM55 bilion pada tahun lalu.


“Antara produk halal yang dieksport termasuklah produk makanan dan minuman (F&B) serta bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan barangan kosmetik.

“Sehubungan itu, kita perlu bantu 240,000 lagi syarikat untuk dapatkan sijil halal yang sah, sekali gus dapat meningkatkan eksport halal negara,” katanya

Hairol Ariffein berkata, kos untuk mendapatkan sijil halal menerusi Jakim tidaklah mahal seperti yang disangkakan kebanyakan pihak, namun berdepan dengan prosedur yang ketat bagi memastikan kualiti produk yang dihasilkan diyakini bersih dan selamat untuk digunakan orang ramai.

“Kos yang pertama perlu dibayar kepada Jakim bagi menjalankan kerja audit serta pengeluaran sijil halal adalah sebanyak RM400 untuk syarikat kecil dan RM1,000 ke RM1,500 bagi syarikat besar.

“Kos kedua adalah prosedur untuk mematuhi piawaian standard iaitu kos untuk melantik pengurus bahagian halal dan kos menukar bahan mentah yang berkualiti serta kos ketiga melibatkan perunding serta latihan tetapi ia tidak wajib,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, proses pensijilan halal Malaysia sangat ketat dan ia terbahagi kepada tiga fasa.

“Fasa pertama adalah prakelulusan. Fasa kedua adalah kelulusan dan fasa ketiga ialah pasca kelulusan. Tempoh bagi pasca kelulusan yang diberikan Jakim adalah selama 2 tahun sahaja.

“Setiap permohonan mestilah berkualiti serta disaring melalui latihan, khidmat nasihat dan intervensi yang berkaitan,” ujarnya..

Hairol Ariffein berkata, pihaknya akan memainkan peranan sebagai agensi yang boleh menggalakkan penyertaan industri dalam ekonomi halal yang boleh membantu meningkatkan eksport halal negara.

“Kita perlu menarik banyak pelaburan langsung dalam industri halal yang secara tidak langsung boleh mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat Malaysia, sama ada di peringkat tempatan mahu pun global.

“Agenda pembangunan ekonomi halal merupakan satu perkara yang perlu melibatkan kerjasama negara luar, terutamanya negara Islam dan dibawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC),” katanya.

Ulasan