Ijazah Kehormat Syeikh Al-Azhar makna besar buat Malaysia-Mesir
LAWATAN Syeikh Al-Azhar Al-Sharif mencerminkan penerimaan dan pengiktirafan kedua-dua buah negara dalam setiap usaha dan tindakan bagi pembangunan umat Islam yang progresif dan dinamik selama ini.
Oleh Meja Rencana
12 Julai 2024, 9:00 am
SAUDARA PENGARANG,
KUNJUNGAN rasmi Syeikh Al-Azhar Al-Sharif, Profesor Dr. Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb ke Malaysia merupakan satu lawatan yang penting, bersejarah dan memberi makna yang besar kepada hubungan dua hala yang sudah sedia lama terjalin antara Malaysia dan Mesir.
Lawatan atas undangan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuka ruang kepada kerjasama baharu khususnya melibatkan institusi pendidikan tinggi, pengukuhan dakwah Islam dan memanfaatkan kekuatan akademia yang dimiliki oleh Al-Azhar.
Kunjungan ini juga mencerminkan penerimaan serta pengiktirafan kedua-dua buah negara dalam setiap usaha dan tindakan bagi membangunkan umat Islam yang progresif dan dinamik selama ini.
Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengajian Quran dan Sunnah oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merupakan sanjungan tertinggi dan pengiktirafan yang selayaknya diberikan atas sumbangan beliau terhadap perkembangan dakwah Islam serta peranannya menyebarkan ilmu Islam kepada masyarakat dunia.
Semasa menjadi Rektor Universiti Al-Azhar, beliau meminjamkan enam orang ahli akademik mereka untuk berkhidmat di USIM dengan tiga darinya bertaraf profesor ditempatkan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah. Keberadaan mereka memberi sumbangan besar dalam memperkukuh kurikulum serta pembangunan modal insan, khususnya dalam bidang kepakaran al-Quran dan Sunnah.
Sebagai seorang ulama yang gigih memperjuangkan keamanan sejagat, kerajaan Malaysia sendiri turut mengiktiraf beliau dengan menganugerahkan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 2020/1442M.
Sebagai seorang tokoh ilmuan yang amat disegani bersama kesarjanaan akademia yang dimiliki, beliau berjaya memberikan sumbangan yang besar dalam dunia akademik di Universiti Al-Azhar dan dunia Islam amnya. Apabila dilantik sebagai Syeikhul Azhar yang ke-50 pada 19 Mac 2020, beliau dilihat memanfaatkan dengan sebaiknya posisi tertinggi ini untuk mempromosikan Dasar al-Wasatiyyah ke seluruh dunia.-UTUSAN
MOHD ZAINI OTHMAN
Penolong Pendaftar di Pusat Tamhidi
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Ulasan
Catat Ulasan