Isu 6 ‘MP Lompat’: Perkataan (menjahanamkan) ini cukup bahaya
July 12, 2024
Share
Shahidan Kassim
KUALA LUMPUR: Satu usul telah dikemukakan bagi merujuk Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berdasarkan peruntukan 36 (12) kerana telah mengelirukan dewan.
Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) berkata, usul berkenaan telah diambil kerana Speaker telah membuat satu tafsiran di Dewan Rakyat yang sepatutnya dilakukan oleh Mahkamah Persekutuan, di samping mengemukakan usul 18 (1) bagi membolehkan Speaker berbincang secara terbuka bahawa perbuatan yang dilakukannya adalah salah.
“Yang Berhormat (Speaker) pernah mengeluarkan kenyataan ini, ‘inilah satu-satunya undang-undang yang boleh menyekat kita daripada terus menjahanamkan negara. Tidak kira lah sama ada sebelah sini (pembangkang), atau sebelah sana (kerajaan). Ini harus dihentikan di sini’.
“Perkataan (menjahanamkan) ini cukup bahaya. Ini doa Yang Berhormat. Doanya ialah orang yang melompat itu boleh menjahanamkan negara. Tetapi hari ini Yang Berhormat menyokong kepada orang yang menjahanamkan negara,” katanya.
Menurut beliau, ini merupakan satu tindakan yang tidak wajar kerana dari segi teknikalnya, tindakan yang dilakukan Speaker dengan mengalihkan kedudukan enam Ahli Parlimen Bersatu yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, adalah satu kesalahan.
“Kenapa pindahkan mereka ke sana? Kalau betul mereka orang kami, kenapa dipindahkan berasingan? Kalau betul mereka orang kami, duduk sini lah. Kenapa duduk di sana? Dari segi teknikalnya, mereka telah keluar dari parti, dan dengan itu mereka hilang kelayakan,” ujarnya.
Oleh itu, Shahidan meminta agar Speaker untuk berfikir semula dan memperbetulkan apa yang berlaku.
“Jika tidak, proses undang-undang akan berlaku dan merupakan sesuatu yang tidak wajar terjadi,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/7/2024
Ulasan
Catat Ulasan