Sokongan anak muda terhadap PN kekal kukuh


Sokongan anak muda terhadap PN kekal kukuh

PRK N.20 DUN Sungai Bakap
July 9, 2024

KANGAR: Sokongan golongan muda terhadap PERIKATAN NASIONAL (PN) kekal kukuh sejak PRU15 termasuk dalam PRN serta beberapa PRK selepas itu dengan terbaru, PRK Sungai Bakap.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis, Haziq Asyraf Dun yang juga ADUN Beseri berkata, generasi muda hari ini memperoleh maklumat dengan cepat dan bijak.

“Undi anak muda masih bersama PERIKATAN NASIONAL kerana mereka adalah generasi yang berilmu, mempunyai akses kepada media sosial, berita, dan maklumat.

“Ini memberi kelebihan kepada PERIKATAN NASIONAL kerana anak muda memilih atas dasar maklumat yang bijak bukan semata-mata atas semangat,” katanya.

Tambahnya lagi, meskipun banyak bantuan dan jentera kerajaan diturunkan dalam PRK DUN Sungai Bakap, undi anak muda tetap berpihak kepada PN.

“Ini memberi isyarat bahawa masa depan politik negara terletak di tangan PERIKATAN NASIONAL,” tambahnya.

PRK Sungai Bakap membuktikan dari 28 saluran anak muda, PN memenangi 24 saluran, sementara Pakatan Harapan (PH) hanya empat.

Haziq meluahkan keyakinan bahawa sokongan anak muda akan terus berlanjutan dalam PRK Nenggiri dan PRK-PRK yang akan datang.

“Kami berharap dan yakin bahawa anak-anak muda akan terus bersama kita, insyaAllah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/7/2024

Ulasan